Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar. FOTO File NSTP
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh dikatakan menjadi rebutan ramai apabila badan induk bola sepak itu menerima banyak permohonan untuk mengisi 'posisi' terbabit sejak dikosongkan beberapa bulan lalu.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, walaupun menerima banyak permohonan namun individu yang layak mengisi kekosongan jawatan itu hanya akan diumumkan awal Januari depan.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya dalam proses menilai individu yang layak untuk memegang jawatan terbabit berdasarkan pengalaman mereka dan kejayaan dimiliki sekali gus mampu membantu membentuk pasukan kebangsaan lebih mantap.

"Pengarah Teknikal akan diumumkan 3 Januari depan selepas selesai proses pengambilan pengarah teknikal. Ramai yang memohon jawatan berkenaan namun belum lagi buat keputusan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, hari ini.

Terdahulu, tawaran menarik sebagai pengendali Sabah FC menyaksikan Kim Swee memilih melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Teknikal FAM yang disandangnya sejak awal Januari tahun ini.

Ia sekali gus menyaksikan hampir tiga bulan jawatan terbabit dikosongkan dan sehingga kini FAM masih belum mengumumkan individu yang layak untuk menggalas tanggungjawab itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status kontrak Pengendali Skuad Bawah 23 tahun Brad Maloney, Saifuddin berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan bersama Maloney dalam minggu ini.

Beliau berkata, walaupun Maloney berjaya memenuhi petunjuk prestasi indeks (KPI) iaitu layak ke pusingan akhir Kelayakan Piala AFC Bawah 23 namun ada beberapa perkara harus dibincangkan bagi mendapat persetujuan bersama.

"Berkaitan kontrak Maloney, kita akan adakan perbincangan dalam minggu ini berikutan beliau baru saja balik dari Mongolia dan menjalani kuarantin.

"Setakat ini, beliau sudah memenuhi KPI yang diberikan namun perbincangan perlu diadakan kerana kita juga mahu tahu perancangannya pada kejohanan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 7:10 PM