Latihan Skuad Harimau Malaya. FOTO File NSTP
Latihan Skuad Harimau Malaya. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Status permohonan mengadakan perlawanan persahabatan masih menjadi tanda tanya menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 'menyerah kalah' dengan membatalkan panggilan skuad kebangsaan yang dijadualkan bermula 30 Ogos hingga 7 September depan.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, FAM sudah membuat keputusan untuk memulangkan kembali tarikh panggilan terbabit bagi jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengadakan saingan Liga Malaysia pada tempoh terbabit.

Beliau berkata, permohonan FAM untuk mengadakan dua perlawanan antarabangsa di negara membabitkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam tempoh jendela Fifa sehingga ke hari ini masih belum mendapat sebarang kebenaran atau kelonggaran yang diperlukan untuk pengendalian perlawanan antarabangsa itu.

"Disebabkan itu, negara lain yang berkaitan tidak dapat menunggu lebih lama untuk kebenaran yang perlu didapati daripada FAM dan mereka terpaksa membuat keputusan untuk membuat perancangan lain bagi pasukan kebangsaan masing-masing.

"Fokus FAM kini adalah melakukan perancangan dan persediaan awal untuk mendapatkan pasukan lawan yang baharu bagi jendela perlawanan antarabangsa Fifa berikutnya iaitu dari 4 hingga 12 Oktober depan.

"Ini penting sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember ini dan juga Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 bermula Februari tahun depan.

"Pada masa sama, FAM juga berharap permohonan kali ini mendapat perhatian dan kelulusan awal daripada pihak berkuasa," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Cheng Hoe cukup berharap mendapat kebenaran menganjurkan aksi persahabatan berstatus 'A' di Ibu Kota yang dilihat sebagai medan terbaik untuk mempersiapkan anak buahnya menjelang tugasan penting hujung tahun ini serta awal Februari depan.

Perlawanan itu cukup penting memandangkan skuad Harimau Malaya bakal menyertai saingan Piala AFF pada Disember ini selain mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pada awal tahun depan.

Mengikut rekod, FAM sebelum ini sudah membentangkan kertas cadangan perlawanan persahabatan itu yang turut mendapatkan persetujuan dan kerjasama daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi memperkukuhkan fakta dan hujah mengenai perlawanan secara gelembung bioperubatan.

Malah, AFC dikatakan turut berkongsi butiran prosedur operasi standard (SOP), fakta dan pengalaman sepanjang mengendalikan pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dan Liga Juara-Juara AFC dengan kaedah gelembung bioperubatan sekali gus mengelak risiko Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 10:59 PM