Dr Pekan Ramli.
Dr Pekan Ramli.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Memanglah menjadi kelaziman untuk mana-mana persatuan sukan mendapatkan kelulusan dari Pesuruhjaya Sukan jika ingin mengadakan sebarang kejohanan," demikian penjelasan penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli.

Jelasnya, berdasarkan keperluan itu, mana-mana persatuan sukan hakikatnya perlu ada surat kelulusan dan surat sokongan dari kerajaan untuk membida kejohanan yang diinginkan.

"Maka kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan perlu sedar dan jangan pula sekolahkan atau panaskan telinga mana-mana persatuan sukan kebangsaan atau penganjur acara di negara kita ini yang perlukan sokongan.

"Tetapi pada masa sama juga tidak wajar juga buat kerajaan menyelar mana-mana persatuan sukan dengan mengatakan mereka tidak boleh menganjurkan sesuatu acara sukan.

"Kerap sangat ke atau berapa banyak kejohanan atau sukan besar kita menjadi tuan rumah? Apa yang pasti, jika kita lihat sekarang ini makin lama makin banyak acara sukan besar dalam konteks pelancongan sukan negara sudah terkubur dan hampir berkubur, maka penganjuran acara sukan apa lagi yang tinggal?" katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar menerusi laporan sebelum ini berkata, badan induk itu bersedia membida hak tuan rumah pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 di salah satu daripada enam venue yang akan ditawarkan kepada semua 24 pasukan di saingan itu nanti selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan format kelayakan secara berpusat.

Jelas Saifuddin, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri penting bagi memastikan sasaran untuk layak ke Piala Asia di China pada 2023 menjadi kenyataan.

"Jika kerajaan tidak sokong untuk FAM membida maka ia satu kerugian buat negara memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri. Dengan sokongan padu 'pemain ke-12', pastinya mampu membuka lebih peluang buat skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia nanti.

"Jika di laman sendiri, FAM juga dapat menjana pendapatan menerusi hasil penjualan tiket demi kelangsungan bola sepak negara terutama dalam menuju fasa endemik," kata Pekan.

Beliau menambah, secara amnya jika dahulu Malaysia gah sebagai penganjur sukan antarabangsa seperti Le Tour de Langkawi (LTdL), MotoGP dan perlumbaan Formula Satu (F1) tetapi kini tinggal kenangan.

"Jadi apa salahnya jika ada persatuan sukan yang ingin tampil membida sebagai tuan rumah mana-mana kejohanan? Pendek kata kalau bukan kerajaan yang menyokong sektor sukan negara, siapa lagi? Negara lain seperti Korea Selatan, Jepun mendapat sokongan padu kerajaan masing-masing dan kerana itu mereka jauh lebih maju meninggalkan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 11:24 PM