MAHMOUD Al Mardi ledak hatrik. FOTO Ihsan Facebook KDA FC
MAHMOUD Al Mardi ledak hatrik. FOTO Ihsan Facebook KDA FC
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penjaring hatrik Kedah Darul Aman FC, Mahmoud Al Mardi mengakui lega dapat membantu pasukan melangkah ke separuh akhir Zon Asean selepas menewaskan Visakha FC 5-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, di Bali, malam tadi.

Mardi yang baharu menyertai Kedah minggu lalu, tidak menyangka mampu meledak hatrik pertama buat skuad Hijau Kuning dalam saingan itu.

Malah, ia adalah penampilan ketiganya buat Kedah dan mengakui menghadiahkan kejayaan itu kepada penyokong setia skuad Kenari.

"Saya gembira dapat jaringkan hatrik malam ini dan ia gol yang penting kerana kami dapat melepasi peringkat kumpulan ini.

"Ia hari yang menakjubkan buat saya dan saya ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan di mana dapat menyumbat lima gol dan paling penting kita menang," katanya.

Untuk rekod, saingan Piala AFC bukan asing buat Mardi apabila pada musim lalu dia membantu kelab Bahrain, Al-Muharraq SC muncul juara trofi itu dengan Mardi turut mencetak nama selaku penjaring.

Katanya, dia mahu meneruskan rentak cemerlang dalam saingan itu dengan kali ini ingin membantu Kedah.

"Ini aksi yang penting sebab kalau kami kalah, kami akan terkeluar daripada saingan. Saya anggap ia pertandingan yang penting kerana musim lalu saya menang.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana beri keyakinan sejak hari pertama, dan juga ia hadiah untuk penyokong," katanya.

Pada aksi terbabit, Visakha terlebih dahulu mengejutkan anak buah Aidil Sharin Sahak menerusi tandukan Mohammed Faez Khan yang bermula dengan 'gimik' sepakan percuma selepas perlawanan 'berusia' 20 minit.

Namun, Kedah membalas menerusi penyudah kemas Mardi pada minit ke-28 sebelum Mardi meletakkan wakil negara itu di depan hasil sepakan percuma menarik di penghujung babak pertama.

Bersambung babak kedua, Mardi terus 'mengganas' apabila dia berjaya menyempurnakan hantaran Fayadh Zulkilfi sekali gus melengkapkan hatriknya pada minit ke-54

Fayadh yang sebelum ini bertindak sebagai 'arkitek' gol ketiga menyumbang gol keempat Kedah pada minit ke-66 dan 'kenduri gol' diteruskan dengan jaringan kelima oleh Ronald Ngah Wanja pada minit ke-76.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 2:50 PM