PEMAIN Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff (tertiarap) ketika melakukan percubaan ke arah gawang PJ City FC pada saingan Liga Super 2022, di Stadium Darul Makmur, baru-baru ini. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
PEMAIN Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff (tertiarap) ketika melakukan percubaan ke arah gawang PJ City FC pada saingan Liga Super 2022, di Stadium Darul Makmur, baru-baru ini. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Jentera serangan menjadi fokus utama Sri Pahang FC menjelang pertemuan dengan Melaka United FC, Sabtu ini.

Pengendalinya, Christophe Gamel berkata, ketumpulan jentera serangan memanfaatkan beberapa peluang dimiliki ketika berdepan PJ City FC pada 9 April lalu, diharap dapat diatasi.

"Masih ada ruang untuk memperbaiki beberapa kelemahan seperti dipersembahkan ketika seri 1-1 berdepan PJ City.

"Segala kelemahan dan kesilapan dipersembahkan sebelum ini diharap tidak diulangi untuk mencatat kemenangan pertama musim ini.

"Malah, pemain diharap terus mempamerkan aksi konsisten sepanjang tempoh 90 minit perlawanan," kata jurulatih berasal dari Perancis itu.

Ketika berdepan PJ City, skuad Tok Gajah terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan terutama sentuhan penyerang import, Mahmoud Za'tara.

Selain itu, menerusi percubaan Abdul Malik Mat Ariff dan Billy Ketkeophomphone gagal membolosi gawang lawan.

Selepas dua perlawanan, Sri Pahang mengutip satu mata apabila seri 1-1 berdepan PJ City manakala tewas 0-1 di tangan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Justeru, perlawanan ketiga menentang Melaka United sudah pasti menjadi tumpuan selepas insiden mutu pengadilan tidak berpihak kepada Sri Pahang dalam kedua-dua perlawanan awal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 8:48 PM