SARR (tengah) amat diperlukan Watford yang sedang bergelut dalam liga musim ini.
SARR (tengah) amat diperlukan Watford yang sedang bergelut dalam liga musim ini.
AFP

Paris: Watford menafikan kenyataan Persekutuan Bolasepak Senegal (FSF) yang mendakwa Ismaila Sarr dilarang beraksi di Piala Negara-Negara Afrika.

FSF mendakwa Watford tidak menghormati dan melakukan diskriminasi dalam sukan bola sepak.

Bagaimanapun, kelab itu percaya Sarr yang diketepikan sejak November lalu akibat kecederaan lutut masih belum cergas untuk menyertai kejohanan di Cameroon bulan ini.

Watford juga tampak enggan bekerjasama membabitkan seorang lagi rakan sepasukan Sarr, Emmanuel Dennis dengan Nigeria berkata kelab Inggeris itu keberatan melepaskan pemain untuk tugasan antarabangsa.

Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AfCon) berlangsung pada 9 Januari dan berakhir 9 Februari sekali gus bertembung dengan musim liga Eropah.

Sarr tampil cemerlang bersama Watford yang sedang bergelut musim ini apabila meledak lima gol dalam 12 aksi Liga Perdana.

Ketiadaannya menjejaskan skuad Claudio Ranieri yang tewas kesemua enam perlawanan sejak dia mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 8:42 AM