PEMAIN Vietnam, Nguyen Van Toan (tengah) bersaing merebut bola dengan pemain Thailand, Yusef Elias Dolah (kanan) pada aksi separuh akhir kedua, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN Vietnam, Nguyen Van Toan (tengah) bersaing merebut bola dengan pemain Thailand, Yusef Elias Dolah (kanan) pada aksi separuh akhir kedua, hari ini. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Thailand akan bertemu Indonesia pada pentas final Piala AFF di Singapura selepas juara lima kali itu menewaskan juara bertahan, Vietnam 2-0 secara agregat dalam aksi timbal balik separuh akhir.

Mempunyai kelebihan dua gol, Thailand menafikan hasrat Vietnam untuk mempertahankan kejuaraan selepas masing-masing terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional, sebentar tadi.

Pada perlawanan hari ini, Vietnam memaksa Thailand untuk lebih banyak bertahan pada babak pertama dengan percubaan Nguyen Quang Hai seawal minit ketiga tepat ke dakapan Chatchai Budprom.

Bersambung babak kedua, Vietnam terus menggandakan asakan untuk mendapatkan gol namun buntu sehingga wisel penamat dibunyikan.

Keputusan seri tanpa jaringan itu sekali gus membolehkan skuad 'Gajah Perang' ke final buat kali kesembilan.

Indonesia terlebih dahulu mengesahkan tiket ke final selepas mengetepikan juara empat kali yang juga tuan rumah, Singapura 5-3 secara agregat, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 10:56 PM