Harimau Malaya menewaskan Thailand 1-0 di Stadium Al Maktoum dalam Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. FOTO Ihsan FAM
Harimau Malaya menewaskan Thailand 1-0 di Stadium Al Maktoum dalam Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. FOTO Ihsan FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya akhirnya berjaya mengelak aib di bumi Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila merakam kemenangan yang dicari-cari selepas menewaskan Thailand 1-0 di Stadium Al Maktoum, malam tadi.

Malaysia yang hadir ke UAE dengan misi besar terpaksa akur selepas tewas dalam dua aksi terdahulu kepada tuan rumah (0-4) dan Vietnam (1-2) untuk mengucapkan selamat tinggal ke Piala Dunia.

Begitupun, kejayaan mengutip tiga mata ke atas skuad Gajah Perang itu membolehkan pasukan negara menamatkan kempen Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat ketiga sekali gus akan beraksi di peringkat kumpulan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia.

 SAFAWI berjaya menyempurnakan sepakan penalti buat negara. FOTO Ihsan FAM
SAFAWI berjaya menyempurnakan sepakan penalti buat negara. FOTO Ihsan FAM

Malaysia yang terdesak memburu kemenangan melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama selepas tewas 1-2 kepada Vietnam Jumaat lalu.

Ia termasuk buat pertama kalinya menurunkan penjaga gol kedua, Khairulazhan Khalid disamping mempertaruhkan Syahmi Safari, Arif Aiman Hanafi, Akhyar Rashid, Nor Azam Azih dan Nazmi Faiz Manson.

Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula yang dikritik hebat dalam dua aksi terdahulu masih diberi kepercayaan dan kali ini aksinya cukup positif dan hampir menjaringkan gol namun tandukannya pada minit ke-22 tepat ke dakapan Chatchai Budprom.

Selang lima minit giliran Aidil Zafuan Abd Radzak pula menguji Chatchai di gawang gol namun tandukan ketua pasukan negara itu mudah di baca selepas menyambut sepakan percuma Azam Azih.

Ketika anak buah Cheng Hoe asyik mengasak, kubu negara dikejutkan dengan percubaan Suphanat Mueanta pada minit ke-35 yang berjaya menewaskan Khairulazhan tetapi mujur kedudukannya dikesan offside oleh penolong pengadil.

Azam Azih yang tidak beraksi ketika menentang Vietnam mencuba nasib apabila rembatan jarak jauhnya tepat ke Chatchai sekali gus menamatkan aksi babak pertama tanpa jaringan.

Bagi melancarkan lagi jentera serangan negara, Cheng Hoe membuat pertukaran dengan memasukkan Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid untuk digantikan dengan Arif dan Brendan di babak kedua.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila gerakan satu dua antara Syafiq dan Safawi menyaksikan Malaysia dihadiahkan sepakan penalti dan Safawi yang dijatuhkan mudah menyempurnakan sepakannya pada minit ke-52.

Walaupun ketinggalan 1-0, Thailand tidak berputus asa apabila lima minit kemudian nyaris menyamakan kedudukan menerusi tandukan Thitiphan Puangchan yang terkena palang gol sebelum disambut Sumanya Purisai yang berada di posisi offside.

Lawan cuba memburu gol penyamaan namun kedudukan tipis itu kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 2:54 AM