AKSI pasukan Melaka United (jersi hijau) dan TFC di Stadium Hang Jebat Paya Rumput. FOTO NAZRI ABU BAKAR
AKSI pasukan Melaka United (jersi hijau) dan TFC di Stadium Hang Jebat Paya Rumput. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Jurulatih Melaka United (MU) Zainal Abidin Hassan menarik nafas lega menerusi peningkatan mendadak anak buahnya dalam membentuk keserasian sekali gus meraih kemenangan 2-0 ke atas Terengganu FC (TFC) 2-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Baginya, persembahan yang memberangsangkan itu amat penting dalam mengharungi baki aksi kerana pasukan terbabit perlu mengelak kehilangan mata pada setiap perlawanan sekali gus memperbaiki kedudukan di carta liga.

Katanya, dia juga gembira pemain mula menunjukkan keserasian walaupun baru mengharungi dua perlawanan bersama terutama import kelahiran Brazil, Adriano Aparecido Narcizo dan Giovane Gomes yang hadir pada jendela perpindahan kedua sebelum ini.

Menurutnya, kemenangan berkenaan amat bermakna kerana pemain menunjukkan keyakinan yang tinggi tambahan berdepan lawan yang memiliki barisan mantap dan reputasi gah di carta liga.

"Apapun, saya mengharapkan persembahan sedemikian akan terus meningkatkan kesungguhan mereka untuk meneruskan corak permainan mantap selain tidak mengambil kira siapa lawan yang bakal ditemui selepas ini.

"Bagaimanapun, tekanan kepada pasukan tetap tinggi daripada barisan TFC sehingga pemain kami juga melakukan kesilapan namun mujur ianya tidak membuahkan hasil buat pelawat," katanya.

Justeru, dia memuji persembahan anak buahnya dalam menghalang gerakan bahaya penyerang lawan sambil barisan tengah dan serangannya bijak mencuri peluang yang ada untuk menghadiahkan jaringan.

Dalam masa sama, dia mengucapkan terima kasih kepada pemilik dan pengurusan pasukan yang banyak mengambil berat berkaitan pasukan serta memberi penekanan terhadap prestasi pemain sehingga anak didiknya amat bersemangat untuk menyerlah.

Sementara itu, jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, dia menurunkan barisan dan corak permainan sama pada seperti aksi-aksi sebelum ini dalam perlawanan terbabit, namun lawan diakui lebih baik dalam aksi berkenaan.

Beliau berkata, kalah menang dalam bola sepak ada biasa namun prestasi yang lebih positif daripada MU jelas memberi kelebihan buat tuan rumah untuk menghampakan pasukannya.

Malah dia melihat tiada masalah dalam barisan yang diturunkan namun penyudah yang kurang berkesan di muka gawang menjadi antara faktor skuad terbabit gagal meraih sebarang mata.

Gol kemenangan MU dalam pertemuan terbabit dihasilkan menerusi Sony Norde pada minit ke-36 dan Andriano minit ke-76 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 12:19 PM