ZAINAL Abidin. FOTO NAZRI ABU BAKAR
ZAINAL Abidin. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) berada dalam prestasi terbaik untuk berdepan Kuala Lumpur City (KL City) dalam saingan pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Cheras malam esok.

Jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan berkata, anak buahnya didapati amat bersedia untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan berkenaan dengan sasaran untuk meraih bekalan selesa sebagai bekal di laman sendiri kelak.

Katanya, pemeriksaan kepada semua pemain dalam sesi latihan petang semalam mendapati kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan bebas daripada kecederaan bagi menghadapi perlawanan getir berkenaan.

Menurutnya, persediaan fizikal dan mental yang positif menjelang aksi juga amat penting kerana tuan rumah pastinya amat bersedia mengharungi pertemuan di gelanggang sendiri.

"Walaupun beraksi di venue tanpa penonton namun ia tidak mengubah skrip kedua-dua pasukan kerana kerana sudah biasa bermain tanpa penyokong justeru fokus setiap minit perlawanan perlu menjadi keutamaan.

"Dalam masa sama komitmen dan kecemerlangan mereka sepanjang saingan peringkat kumpulan dan suku akhir diyakini mampu dikekalkan kerana tekad dan semangat pemain juga membara untuk beraksi lebih baik daripada sebelumnya," katanya.

Cuma, dia mengharapkan mereka tidak alpa ketika melakukan serangan dan perancangan kerana dibimbangi lawan cuba mencuri ruang jika berlaku kesilapan.

Malah dia membayangkan tidak banyak mengubah barisan pemain yang ada dalam perlawanan berkenaan berdasarkan kecemerlangan sentuhan anak buahnya dalam aksi sebelum ini.

Menurutnya, rangkaian pemain sudah memahami corak permainan masing-masing termasuk dalam kalangan pemain simpanan, justeru sentuhan mereka dituntut untuk lebih agresif ketika melakukan percubaan mahupun pertahanan.

Baginya, gandingan dua import Brazil Giovane Gomes dan Adriano Narcizo bersama Sony Norde (Haiti) serta Manuel Ott (Filipina) dan pemain tempatan lain mampu memberi tekanan buat KL City kali ini.

Apapun Zainal amat waspada dengan azam KL City yang menyimpan hasrat meraih kemenangan menerusi perancangan jurulatihnya Bojan Hodak yang turut menaruh keinginan untuk layak ke final.

Sementara Melaka juga mengintai sejarah kali pertama mara ke final selepas berjaya menyamai rekod 38 tahun ke separuh akhir kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 3:26 PM