SEUNG Jo harap tunggakan itu dapat diselesaikan dengan segera kerana ia sudah lama tertangguh sejak musim lalu. FOTO Ihsan TRW Kelantan FC
SEUNG Jo harap tunggakan itu dapat diselesaikan dengan segera kerana ia sudah lama tertangguh sejak musim lalu. FOTO Ihsan TRW Kelantan FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Siapakah yang harus bertanggungjawab. Adakah Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) atau Kelantan FC?

Itu persoalan yang timbul difikirkan bekas pemain import The Red Warriors (TRW) dari Korea Selatan, Kang Seung Jo yang sehingga kini masih gagal menuntut tunggakan gaji berjumlah dan kos penerbangan berjumlah RM66,100.

Seung Jo, 35, yang mula menyertai Kelantan pada awal musim 2020 terpaksa membuat keputusan meninggalkan pasukan dari Pantai Timur itu pada Jun tahun sama bagi menyertai Gyeongnam FC selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan dari Mac hingga Ogos ekoran pandemik Covid-19.

Biarpun penamatan kontrak itu dilakukan secara persetujuan bersama kedua-dua, namun baki gaji yang harus dijelaskan TRW kepadanya masih belum diterima dengan kini sudah melebihi setahun.

"Siapa yang harus selesaikan, KAFA atau Kelantan FC? Saya ada cuba hubungi KAFA, tapi panggilan saya tidak dilayan.

"Dengannya Kelantan sudah ada pemilik. Tapi dalam masa yang sama, saya dimaklumkan tunggakan lama adalah di bawah tanggungjawab KAFA.

"Jadi siapa yang harus selesaikan. Saya harap tunggakan itu dapat diselesaikan dengan segera kerana ia sudah lama tertangguh sejak musim lalu," katanya.

Untuk rekod, Kelantan FC dibeli oleh usahawan tempatan, Norizam Tukiman pada September tahun lalu dengan nilai RM6.8 juta.

Berdasarkan persetujuan antara KAFA dan Norizam atau lebih dikenali dengan Zamburger, segala tunggakan gaji adalah tanggungjawab KAFA yang menegaskan akan menggunakan hasil penjualan pasukan untuk melangsaikan semua tuntutan hutang termasuk tunggakan gaji pemain.

Menurut Seung Jo lagi, isu tunggakan gaji itu boleh menjatuhkan imej Liga M seandainya ia tidak ditangani segera.

"Bila adanya isu tunggakan gaji ini, imej bola sepak Malaysia akan tercemar. Pengurusan pasukan perlu profesional dan jangan abaikan kebajikan pemain walaupun dalam apa jua situasi yang menekan," kata pemain tengah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 9:02 PM