Bekas tonggak import Kelantan dari Korea Selatan, Kang Seung Jo.
Bekas tonggak import Kelantan dari Korea Selatan, Kang Seung Jo.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak pernah lari atau bersembunyi untuk mengelak daripada menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemainnya seperti mana yang dilaporkan Arena Metro sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata, sememangnya KAFA masih berhutang dengan beberapa pemain dan agensi tertentu yang dianggarkan berjumlah RM1 juta.

Malah katanya, KAFA sebenarnya turut berdepan komitmen untuk menjelaskan pinjaman wang daripada pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman yang berjumlah RM3.8 juta yang harus dibayar mulai tahun ini dengan bayaran RM200,000 setahun.

Lantas, jumlah keseluruhan hutang yang perlu dijelaskan adalah kira-kira RM4.8 juta dengan Hussin mengakui jumlah berkenaan cukup besar dan ia memerlukan tempoh masa lebih buat pihaknya merancang beberapa strategi menyelesaikan kesemua tunggakan itu.

"Ramai tak tahu sebenarnya atau ada kesilapan laporan berkenaan penjualan Kelantan FC dulu. Sebenarnya Kelantan FC di jual pada harga RM3 juta sahaja kepada Norizam.

"Kemudian KAFA diberi pinjaman sebanyak RM3.8 juta lagi untuk menyelesaikan segala hutang-hutang pemain dan agensi tertentu seperti KWSP, Socso dan sebagainya. Kalau ikutkan hutang sebenar adalah RM8 juta, tapi kami hanya dapat RM6.8 juta termasuk pinjaman yang diberikan itu.

"Sebab itu ada sebahagian bekas pemain yang tidak dibayar kerana duit itu tak cukup. Kita terpaksa utamakan dulu bayaran agensi-agensi disamping hutang-hutang pemain yang bergaji besar dulu.

"Tapi kami tak pernah duduk diam, cuma masalahnya sekarang Kelantan masih di Fasa Tiga PPN (Pelan Pemulihan Negara) sebab itu kami tak dapat lakukan apa-apa aktiviti untuk mencari dana bagi membayar hutang berkenaan.

"Tunggulah dulu selepas masuk Fasa 4 PPN nanti kita akan cari jalan untuk buat program-program bagi mengumpul dana. KAFA sekarang dah tak ada pasukan untuk kutip duit tiket, jadi harap mereka (bekas pemain) bersabar dan kami akan hubungi nanti," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, sebilangan bekas pemain Kelantan, Faizol Nazlin Sayuti, Syazwan Yusoff, Fakhrul Zaman Zawawi, Khairul Izuan Rosli dan tonggak import dari Korea Selatan, Kang Seung Jo menuntut tunggakan gaji dan elaun yang sudah tertangguh sejak dua hingga tiga musim lalu.

Untuk rekod, Kelantan FC dibeli oleh usahawan tempatan, Norizam Tukiman pada September tahun lalu dengan nilai RM3 juta selain diberi pinjaman sejumlah RM3.8 juta lagi bagi membayar tunggakan gaji.

"Semua duit dari jual kelab dan pinjaman itu, kita dah habiskan dengan bayar semua hutang. Kalau ada hutang lagi memang kena mintak kat KAFA bukan Norizam lagi.

"Saya juga boleh sahkan, kami sudah terima surat daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mengenai baki tuntutan hutang itu dan kami akan duduk berbincang selepas ini. Saya harap FAM dapat bantu kami untuk cari jalan selesaikan isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 10:16 PM