AKSI pemain  Kelantan  FC ketika menentang Terengganu FC pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
AKSI pemain Kelantan FC ketika menentang Terengganu FC pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: RM1 juta adalah nilai bersesuaian untuk mana-mana individu termasuk usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida membeli pasukan Kelantan FC daripada pemiliknya, Norizam Tukiman.

Terdapat beberapa faktor menyebabkan skuad The Red Warriors (TRW) diletakkan pada tanda harga itu meskipun Norizam membeli pasukan itu daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) dengan nilai RM6.8 juta.

Perkara utama menyebabkan penyusutan nilai itu kerana pelbagai isu negatif menyelubungi TRW termasuk masalah tunggakan gaji, sekatan pembayaran penuh, kes tatatertib di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Fifa.

Malah pasukan itu juga tidak mempunyai pusat latihan sendiri, tidak memiliki stadium sendiri, keputusan perlawanan Liga Super yang teruk apabila tewas 11 aksi daripada 13 perlawanan untuk menghuni tangga tercorot serta pengurusan yang lemah.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan, nilai RM1 juta dianggap sesuai dan berpatutan dengan keadaan semasa menyelubungi pasukan itu.

"Tak boleh nak kira dulu beliau (Norizam) beli dengan harga RM6.8 juta, dan nak jual balik kepada orang lain dengan harga lebih tinggi. Sebab apa saya cakap begitu, bila beliau dah ambil pasukan…pasukan itu jadi lebih teruk lagi dan bukannya ke arah lebih baik.

"Perkara paling penting mempengaruhi nilai untuk beli adalah soal imej pasukan yang dah tercalar dengan pelbagai isu. Saya rasa tak ada orang nak melabur duit ke atas pasukan yang selalu ada masalah seperti tunggakan gaji dan bayar separuh.

"Mana ada orang buat macam itu tahan-tahan gaji pemain, beliau pun dah mengaku memang buat. Jadi saya tak fikir nilai Kelantan berjuta-juta. Pada saya RM1 juta pun dah cukup," katanya kepada Arena Metro.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, Norizam mengakui sedia membuka meja perbincangan bersama Vida jika benar berhasrat untuk membeli kelab terbabit.

Norizam juga akui nilai jualan sudah tentunya lebih tinggi daripada jumlah ketika dia membeli pasukan dari tangan Kafa pada 2019 dengan nilai RM6.8 juta.

Ujar Effendi lagi, ketika Norizam membeli TRW tahun tahun lalu, nilai berkenaan adalah termasuk hutang gaji pemain.

"Beliau tak boleh nak dapat lebih RM6 juta sebab dulu beliau beli pun termasuk dengan hutang pemain. Pada saya, Norizam kena contohi cara pengurusan JDT (Johor Darul Ta'zim) yang cukup profesional dan antara kelab terbaik di negara ini," katanya.

Terdahulu, Vida menyatakan hasrat untuk mengambil alih TRW daripada Norizam kerana mahu menyelamatkan pasukan itu yang kini dibelenggu pelbagai masalah termasuk isu berkaitan tunggakan gaji.

Untuk rekod, Vida pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2015 dan 2016 selepas dia menaja TRW dengan nilai RM16 juta selama dua musim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 8:11 PM