MARONG mendakwa Kelantan FC berbohong dengan Fifa berhubung penamatan kontrak pemain. FOTO FB TRW KELANTAN FC
MARONG mendakwa Kelantan FC berbohong dengan Fifa berhubung penamatan kontrak pemain. FOTO FB TRW KELANTAN FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Adakah benar Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) menjadi mangsa 'kencing' Kelantan FC?

Perkara itu didedahkan bekas penyerang import The Red Warriors (TRW), Nuha Marong yang mendakwa Kelantan FC berbohong kepada Fifa berhubung penamatan kontrak pemain.

Kata pemain kebangsaan Gambia itu, kelab terbabit menipu kepada semua pihak termasuk Fifa apabila menyatakan penamatan kontrak awal pemain dibuat atas persetujuan bersama, namun hakikatnya ia tidak benar.

"Tidak mempunyai wang (TRW). Dan bahagian akaun kelab memaklumkan ia (penamatan kontrak) persetujuan bersama adalah pembohongan (Fifa)," katanya di ruangan komen Instagram semalam.

Ia dinyatakan Marong selepas seorang lagi bekas rakan sepasukannya, Nurshamil Ghani meluahkan rasa tidak puas hati di laman Story Instagram miliknya apabila pihak pengurusan TRW meminta bayaran RM50,000 jika mahu menamatkan ikatan atas 'tiket' suka sama suka.

Malah, lebih membingungkan Nurshamil apabila beberapa bayaran tidak ditunaikan seperti bonus perlawanan, bonus kemenangan layak ke Liga Super serta tiadanya pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi dia perlu membayar RM50,000 untuk 'berpisah' secara baik.

Seorang lagi bekas pemain import yang sudah meninggalkan Kelantan FC, Ismahil Akinade dan menyertai skuad adik iaitu Kelantan United dalam jendela perpindahan pemain bulan ini, mendakwa pemilik kelab, Norizam Tukiman tidak sesuai menguruskan kelab bola sepak.

"Lelaki itu (Norizam Tukiman) lebih baik fokus menjual burger dan cuba menjauhkan diri daripada bola sepak," kata Ismahil Akinade.

Pekung sama turut dikongsikan seorang lagi bekas pembantu jurulatih dan penganalisis video pasukan Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas di ruangan komen sama.

Pol Carpas atau nama Islamnya, Pol Abu Bakar mendakwa dirinya turut menjadi mangsa seperti Nurshamil.

"Apa yang berlaku kepada kamu (Nurshamil), sebenarnya juga berlaku kepada saya.. Moga kuat, kamu seorang pemain yang baik dan kawan yang baik," kata Pol Abu Bakar yang turut 'angkat kaki' meninggalkan pasukan Mei lalu.

Selain Nurshamil yang memohon penamatan kontrak, beberapa tonggak import dilaporkan sudah meninggalkan pasukan atas persetujuan bersama.

Terdahulu, TRW berdepan pelbagai isu dalaman termasuk kelewatan pembayaran gaji kepada setiap pemain, malah turut menahan gaji pemain yang gagal menyerlah dalam pasukan.

Kelab terbabit dipalit kontroversi ekoran isu pemecatan bekas jurulatih Korea Selatan, Choi Moon-sik hingga kes berkenaan diheret ke Fifa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 1:19 PM