Pemain TFC giat menjalani latihan. FOTO Ihsan TFC
Pemain TFC giat menjalani latihan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir saingan Piala Malaysia selepas muncul juara Kumpulan B bakal memberi peluang kepada pemain yang mempunyai minit permainan yang kurang beraksi apabila berdepan Kuching City FC (KCFC) malam esok.

Skuad Penyu itu juga bakal menyenaraikan pemain muda pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang bakal berlangsung di Stadium Negeri, Kuching.

Bagaimanapun pengendali skuad itu, Nafuzi Zain tetap mahu merakam rekod kemenangan keenam berturut-turut berdepan skuad The Cats itu demi maruah.

Selain itu jurulatih berusia 43 tahun itu juga mahu melebarkan lagi rekod kemenangan kedua ke atas skuad kendalian bekas sifunya, Irfan Bakti Abu Salim walaupun perlawanan itu tidak akan mengubah kedudukan skuad Penyu itu di persada kumpulan.

"Pada aksi terakhir peringkat kumpulan, kita akan menurunkan pemain muda dan pemain yang kurang minit permainan sebelum ini dengan merehatkan pemain yang beraksi menentang Selangor FC, Ahad lalu.

"Kapten pasukan, Carli De Murga yang masih cedera bakal digantikan dengan pemain Terengganu FC II (TFC II), Argzim Redzovic yang bakal mengambil tugas pemain itu untuk mengemudi jentera pertahanan.

"Bagaimanapun misi kita tetap sama iaitu untuk meneruskan rentak kemenangan keenam berturut-turut walaupun kita sudah layak ke suku akhir dan menjuarai Kumpulan B," katanya.

Ketika ditanya reaksinya bertemu bekas gurunya itu selepas merakam kemenangan 2-0 pada aksi pusingan pertama Oktober lalu, jurulatih kelahiran Kelantan itu akui teruja selain tetap menghormati jurulatih paling senior dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini itu.

"Siapa tidak teruja bertemu sekali lagi dengan bekas sifu saya, bukan hanya menerusi taktikal di padang tapi juga di luar padang termasuk bertukar-tukar idea dan pendapat," kata bekas penyerang Terengganu itu.

Terengganu yang muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah pada 2001 berazam untuk mencipta rekod kedua menjulang trofi berprestij edisi ke-100 itu musim ini sekali gus mengintai peluang ke pentas Piala AFC musim depan selepas hanya menghuni di tangga keempat Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 12:30 PM