LIRIDON dijangka mengetuai jentera tengah TFC. FOTO Ihsan TFC
LIRIDON dijangka mengetuai jentera tengah TFC. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertembungan Terengganu FC (TFC) dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman Alor Setar, malam esok bukan sahaja membabitkan 'pertempuran' antara pemain kedua-dua pasukan.

Malah ia juga dilihat membabitkan pertembungan strategi pengendali dua pasukan berkenaan iaitu Tomislav Steinbrukner yang membimbing skuad Penyu dan Nafuzi Zain yang menerajui skuad Sang Kenari.

Pertemuan dua pasukan itu menarik kerana pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu, dua pengendali itu pernah bekerjasama dalam pasukan TFC selepas Steinbrukner yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' menjawat jawatan Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd manakala Nafuzi bergelar ketua jurulatih TFC.

Persoalannya strategi jurulatih mana yang lebih mantap bakal diketahui pada malam esok ketika dua pasukan itu masing-masing mahukan mata penuh pada aksi kedua Liga Super itu.

Bagaimanapun Steinbrukner akui tidak berdepan masalah dengan Nafuzi malah beliau tetap menghormati bekas jurulatih TFC itu.

Namun katanya, beliau meletakkan harapan yang tinggi agar anak buahnya mampu memperagakan aksi yang berkualiti tinggi biarpun sedar bekas jurulatih TFC itu pastinya mengetuai corak permainan individu sesetengah pemain skuad Penyu.

Steinbrukner juga menuntut anak buahnya agar mampu mencipta lebih banyak peluang untuk memburu jaringan dalam misi melakar kemenangan pertama musim ini selepas tumpas 2-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Jumaat lalu.

"Saya tiada masalah untuk bertemu dengan bekas jurulatih TFC itu, tapi saya harapkan aksi berkualiti mampu ditampilkan anak buah dalam misi mengutip mata selepas tumpas kepada JDT tempoh hari.

"Saya juga menuntut pemain agar mampu mencipta lebih banyak gerakan dan peluang untuk menjaringkan gol selain beraksi mengikut perancangan walaupun sedar pasukan Kedah begitu baik terutama selepas menang pada aksi pertama menentang Perak," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, petang semalam.

Pada aksi kedua itu nanti, Steinbrukner bakal menyenaraikan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi yang dijangka bergandingan dengan Domogoj Pusic dan Omid Nazari di jentera tengah selepas Habib Haroon masih belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 2:21 PM