LALUAN berliku buat Terengganu FC yang diundi dalam 'kumpulan maut' saingan Piala Malaysia musim ini. FOTO Ihsan TFC
LALUAN berliku buat Terengganu FC yang diundi dalam 'kumpulan maut' saingan Piala Malaysia musim ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Laluan berliku bakal ditempuhi pasukan Terengganu FC (TFC) bagi melepasi peringkat kumpulan dan seterusnya layak ke suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini.

Diundi dalam Kumpulan B yang disifatkan sebagai 'kumpulan maut' bersama dua bekas juara piala berprestij itu, Selangor FC, Perak FC dan pasukan tempat ketiga Liga Perdana sudah pasti begitu mencabar buat skuad kendalian Nafuzi Zain walaupun aksi dalam pentas liga lebih memihak kepada skuad Penyu itu.

Ini diakui pengurus pasukan, Zulfadli Rozi yang menjangkakan skuad TFC bakal berdepan laluan mencabar untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam saingan tertua di Asia itu yang memasuki edisi ke-100 musim ini.

"Tiada laluan mudah, sebaliknya tugas mencabar buat pemain kerana berada bersama-sama dua pasukan yang mempunyai sejarah dan rekod cemerlang dalam saingan Piala Malaysia iaitu Selangor FC yang memiliki rekod juara sebanyak 33 kali dan Perak FC.

"Benar TFC pernah menundukkan dua pasukan itu dalam aksi pusingan pertama dan kedua liga musim ini, tapi kita perlu realistik kerana suasana dan cabaran trofi ini begitu berbeza berbanding Liga Super.

"Tambahan pula pasukan ketiga Liga Perdana kemungkinan besar Kuching City FC (KCFC), jadi sudah pasti saingan lebih menarik apabila Nafuzi bakal berdepan dengan bekas sifunya, Irfan Bakti Abu Salim.

"Jadi kita tidak boleh mengambil mudah dan mengambil kira keputusan sebelum ini sebaliknya pemain perlu lebih bersedia dan berwaspada dalam setiap perlawanan," katanya kepada Sukan NSTP.

Mengenai sasaran pasukan, beliau akui mana-mana pasukan sudah pasti mahukan trofi lebih-lebih lagi ia menjamin tiket untuk beraksi dalam pentas Piala AFC musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 12:29 PM