PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah menuntut pemain TFC bangkit di suku akhir Piala FA menentang Kuching City FC, Sabtu ini. FOTO GHAZALI KORI
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah menuntut pemain TFC bangkit di suku akhir Piala FA menentang Kuching City FC, Sabtu ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri percaya pemain Terengganu FC (TFC) mampu bangkit memburu kemenangan berdepan Kuching City FC (KCFC) pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, prestasi semasa skuad bimbingan Nafuzi Zain itu diyakini mampu menghadirkan keceriaan buat pasukan.

Tambahnya, sorakan padu peminat setia skuad itu bakal menjadi pemangkin semangat pemain memperagakan aksi terbaik untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain agar tidak mengambil mudah menentang skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu yang beraksi dalam saingan Liga Perdana.

"Sebarang kealpaan bakal mengundang padah buat pasukan, tambahan pula skuad itu pasti hadir dengan strategi berbeza hasil sentuhan jurulatih berpengalaman mereka yang juga bekas pengendali TFC.

"Apapun, melihat kepada barisan pemain selain prestasi semasa pasukan, saya berkeyakinan mereka mampu bangkit melakar kemenangan untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

"Pesanan saya kepada pemain, mereka harus beraksi dengan bersungguh-sungguh sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil selain mencari jaringan awal bagi menyuntik lagi motivasi di depan penyokong sendiri," katanya.

Pada aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas malam tadi, skuad Penyu yang mendahului tuan rumah terpaksa akur selepas tewas 1-2.

Bagaimanapun, skuad itu bertekad untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri, sekali gus layak ke peringkat separuh akhir Piala FA, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 3:12 PM