Ronaldo (tengah) bersama pemandu F1 Ferrari. FOTO Twitter Ferrari
Ronaldo (tengah) bersama pemandu F1 Ferrari. FOTO Twitter Ferrari

Milan: Cristiano Ronaldo mencetus kemarahan peminat Juventus selepas didakwa bertindak ponteng latihan hanya untuk melawat kilang Ferrari di Maranello.

Penyerang berusia 36 tahun itu mengambil keputusan untuk berehat - sehari selepas pasukannya tewas 0-3 kepada AC Milan sekali gus menyukarkan peluang Juve dalam memburu tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad kendalian Andrea Pirlo tercicir dari kelompok empat teratas susulan kekalahan itu dan kini berada di kedudukan kelima dengan hanya berbaki tiga perlawanan liga.

Sensasi Portugal itu tidak mengambil bahagian dalam sesi latihan pemulihan menjelang kunjungan ke Sassuolo awal pagi esok, Ronaldo sebaliknya kelihatan muncul di Maranello iaitu ibu pejabat pasukan Formula Satu (F1) Ferrari.

Dia ditemani pengerusi kelab, Andrea Agnelli dan John Elkaan, 45, yang juga CEO bagi Exor dan Ferrari.

Exor adalah syarikat yang diuruskan oleh keluarga Agnelli dalam mengendalikan Juventus dan Ferrari.

Ferrari Monza bernilai £1.4 juta (RM8.16j) koleksi terbaru supercar Ronaldo.
Ferrari Monza bernilai £1.4 juta (RM8.16j) koleksi terbaru supercar Ronaldo.

Ketika di Ferrari, Ronaldo kelihatan bergambar bersama pemandu F1, Charles Leclerc dan Carlos Sainz, yang diberikan jersi Juve yang tertera namanya dan ditandatanganinya.

Malah menurut laporan Corriere della Serra, Ronaldo menambah koleksi kenderaannya dengan membeli Ferrari Monza bernilai £1.4 juta (RM8.16j).

Kereta supercar milik Ronaldo itu adalah yang terbaru dalam koleksinya termasuk Bugatti Centodieci bernilai £8.5j (RM49.56j) serta Bugatti Chiron dan Veyron.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 2:42 PM