ALVES ketika beraksi bersama Sao Paulo. FOTO AFP
ALVES ketika beraksi bersama Sao Paulo. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Kelab Brazil, Sao Paulo mengumumkan sudah berpisah dengan Dani Alves selepas pertahanan veteran itu tidak menyertai sesi latihan Jumaat lalu sebagai tanda protes tidak dibayar gaji.

"Kami sudah membuat keputusan dan memaklumkan kepada pengurus Hernan Crespo yang Daniel Alves bukan lagi sebahagian daripada pasukan," kata pengarah sukan, Carlos Belmonte di Twitter.

"Sao Paulo lebih besar berbanding seorang individu," tegasnya.

Ejen bekas pemain Barcelona, Juventus dan Paris Saint-Germain itu memberitahu kelab berkenaan bahawa dia akan terus memboikot latihan sehingga gaji tertunggaknya dibayar, kata Belmonte.

Menurut laporan akhbar tempatan, kelab itu berhutang dengan Alves 1.8 juta euro (RM8.8 juta).

Sao Paulo mengesahkan hutang berkenaan dan mengemukakan tawaran untuk menyelesaikannya minggu lalu tetapi ditolak, tambah Belmonte.

Hubungan antara kelab dan Alves semakin tegang selepas dia mengetuai pasukan kebangsaan di Olimpik Tokyo yang menyaksikan Brazil berjaya meraih pingat emas sekali gus kejayaan ke-43 dalam kariernya.

Alves menyertai Sao Paulo pada 2019 menerusi kontrak selama tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 8:31 AM