ALVES dipenjara empat tahun setengah. FOTO AFP
ALVES dipenjara empat tahun setengah. FOTO AFP
Agensi

Sao Paulo: Keluarga Neymar dilaporkan membantu Dani Alves membayar denda £128,000 (RM774,000) dalam kes rogolnya, untuk membantu meringankan hukuman yang dikenakan kepada bekas pemain pertahanan Barcelona itu.

Pemain berusia 40 tahun itu, yang kali terakhir bermain untuk pasukan Mexico, UNAM Pumas, dipenjara selama empat tahun setengah selepas disabitkan kesalahan merogol seorang wanita di kelab malam dekat Sepanyol.

Alves ditahan di Penjara Brians 2 berhampiran ibu kota Catalan sejak pada Januari tahun lalu.

Pendakwa raya negeri mahu dia dipenjarakan selama sembilan tahun dan peguam mewakili mangsa menuntut Alves dihukum penjara selama 12 tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, 'faktor pengurangan' hukumannya ialah dia perlu membuat pra-pembayaran sebanyak £128,000 kepada mangsa sebagai pampasan.

Menurut laporan di Brazil, keluarga Neymar - yang pernah beraksi bersama pemain pertahanan itu di Barcelona, ​​PSG dan Brazil - didakwa membantu Alves membayar denda itu.

Laporan itu mendakwa jumlah itu - yang Mahkamah Sepanyol perintahkan untuk Alves membayarnya - akan diberikan kepada mangsa sebagai pampasan kecederaan yang disebabkan oleh pengalaman pahitnya itu sekali gus ia memainkan peranan besar dalam mengurangkan tempoh hukuman terhadap Alves.

Keluarga Neymar juga dilaporkan meminjamkan Gustavo Xisto, salah seorang wakil undang-undang paling kanan bapa bintang Al-Hilal itu, untuk membantu Alves dalam kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 12:29 PM