LEICESTER menjulang Perisai Komunita selepas menumpaskan City 1-0 di Wembley. FOTO EPA
LEICESTER menjulang Perisai Komunita selepas menumpaskan City 1-0 di Wembley. FOTO EPA
AFP

London: Penampilan pertama Jack Grealish dengan Manchester City dirosakkan oleh Kelechi Iheanacho selepas penyerang Leicester itu menyempurnakan sepakan penalti untuk meraih kemenangan 1-0 dalam saingan Perisai Komuniti.

Semua mata tertumpu kepada Grealish apabila dia masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua selepas mencipta rekod Britain dengan nilai perpindahan £100 juta (RM585 juta) dari Aston Villa.

Selepas berlatih buat kali pertama dengan rakan sepasukan baru Jumaat lalu, Grealish menggantikan Sam Edozie pada minit ke-65 dan dilihat berjaya menghidupkan gerakan dalam penampilan sulungnya.

Grealish dilihat lebih banyak memberi ancaman berbanding rakan sepasukan lain.

Bagaimanapun, penampilan pertamanya menyarung jersi City berakhir dengan kekecewaan selepas Iheanacho menyempurnakan penalti pada minit terakhir selepas pemain kelahiran Nigeria itu dijatuhkan Nathan Ake.

"Dia bermain dengan sangat baik. Agresif, memberi ancaman kepada pertahanan lawan, setiap kali dia mendapat bola tiga pemain berada di sekelilingnya. Sedikit demi sedikit dia mampu mencari rentak terbaik," kata Pengurus City, Pep Guardiola

Kekalahan dalam saingan pembuka tirai yang diadakan setiap tahun tidak menjadi masalah buat City sekiranya mereka mampu mengulangi penampilan hebat seperti musim lalu, yang membawa mereka meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga.

"Saya melihat banyak perkara positif hari ini. Saya tidak rasa mereka bermain dengan teruk dan saya memberitahu pemain betapa bangganya saya. Bagaimanapun, dalam perkara seperti ini anda memerlukan kemenangan.

"Kami tahu tidak berada pada tahap terbaik tapi pemain akan menjadi lebih bagus Ahad depan. Itulah proses yang haru kami lakukan." kata Guardiola.

Naib juara Liga Juara-Juara musim lalu itu akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan menentang Tottenham Ahad depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 8:22 AM