RAHEEM Sterling. FOTO AFP
RAHEEM Sterling. FOTO AFP
AFP

London: Pep Guardiola mahu Raheem Sterling bersaing merebut tempat di Manchester City selepas penyerang itu mengakui bersedia untuk meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris itu.

Sterling bersama City sejak 2015 selepas berhijrah dari Liverpool dan dia sudah memenangi tiga gelaran Liga Perdana bersama kelab itu.

Bagaimanapun pemain antarabangsa England berusia 26 tahun itu hanya melakukan dua penampilan musim ini dan bergelut dengan prestasi selain perlu bersaing dengan barisan penyerang termasuk Phil Foden dan Jack Grealish.

Guardiola memberitahu wartawan beliau mahu Sterling kekal bersama City.

"Raheem adalah pemain kami dan berharap akan menjadi pemain penting untuk kami.

"Ada pemain yang mahu beraksi sepanjang masa tetapi saya tidak boleh memberi jaminan.

"Mereka perlu membuktikannya di atas padang. Bukan Raheem saja, kesemua mereka. Apa yang saya mahukan daripada Raheem dan semua pemain adalah mereka berasa gembira," kata Guardiola.

Di sebalik kurang beraksi, Sterling menyatakan dia tidak akan mendesak Guardiola memberi peluang lebih kerap kepadanya untuk diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 10:37 PM