KAPTEN Aston Villa, Jack Grealish yang akan menyertai Manchester City dengan rekod perpindahan Britain. FOTO Fail AFP
KAPTEN Aston Villa, Jack Grealish yang akan menyertai Manchester City dengan rekod perpindahan Britain. FOTO Fail AFP
AFP

London: Jack Grealish dilaporkan melengkapkan pemeriksaan perubatan dengan Manchester City pada ketika pemain tengah Aston Villa itu semakin hampir menyertai juara Liga Perdana Inggeris itu dengan rekod perpindahan Britain RM588 juta (£100 juta).

Grealish dirakam memandu ke pusat latihan City di Stadium Etihad dengan van hitam untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, hari ini.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi pemain Inggeris termahal dalam sejarah apabila City melengkapkan perpindahannya nanti.

Yuran perpindahan itu mengatasi rekod Britain sebanyak RM523 juta (£89 juta) dibayar Manchester United ketika mendapatkan Paul Pogba dari Juventus pada 2016.

City dilaporkan mengaktifkan klausa dalam kontrak Grealish yang merangkumi Villa terpaksa menerima apabila tawaran mereka mencecah RM588 juta.

Grealish kembali dari bercuti di Dubrovnik pada awal minggu ini dan kembali berlatih pada ketika City membuat bidaan terhadapnya.

Selepas memulakan karier bersama akademi remaja Villa, Grealish menghabiskan sepenuh masa di kelab yang disokongnya sejak kecil itu dan pernah dipinjamkan ke Notts County pada musim 2013-14.

Dia membuat 213 penampilan bersama Villa sejak kali pertama diturunkan pada 2014 dan menjaringkan 32 gol serta 43 bantuan jaringan.

Grealish yang masih memiliki baki kontrak empat haun dengan Villa, menjaringkan enam gol liga musim lalu dan melakukan 10 bantuan jaringan.

Grealish tidak pernah beraksi di Liga Juara-Juara Eropah dan menyertai City akan memberikan peluang kepadanya untuk mempamerkan bakat di peringkat tertinggi kelab.

Kapten Villa itu diturunkan empat kali bersama England di kempen Euro 2020 dan mempamerkan kualiti yang meyakinkan pengurus City, Pep Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 11:44 PM