AKSI Zaquan Adha (kanan) dalam perlawanan menentang Perak FC II di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu. FOTO Ihsan NSFC.
AKSI Zaquan Adha (kanan) dalam perlawanan menentang Perak FC II di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu. FOTO Ihsan NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Alhamdulillah, kemenangan ke atas skuad Projek FAM-MSN dapat direalisasikan malam tadi, bagi membolehkan pasukan kembali menerajui carta liga," kata kapten Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC), Mohammad Zaquan Adha Abd Radzak.

NSFC berjaya menewaskan Projek FAM-MSN, 2-1, dalam aksi Liga Perdana yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.

Menurut Zaquan Adha, pasukannya perlu mengekalkan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan untuk memastikan impian layak ke saingan Liga Super musim depan tidak tersasar.

Dia yang menjaringkan satu gol dalam aksi itu akui pasukannya berada pada landasan terbaik untuk mencapai impian yang ditetapkan selepas kembali mencapai kemenangan.

"Namun begitu perlu diingat, pesaing terdekat iaitu Sarawak United masih kurang perlawanan.

"Oleh itu, kami tidak boleh leka kerana sebarang keciciran mata akan menjejaskan kedudukan di dalam carta sekali gus menggugat sasaran yang ingin dicapai.

"Kami perlu terus bekerja keras memantapkan lagi persembahan bagi memastikan kejuaraan liga dan seterusnya layak ke Liga Super dapat dicapai," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu menegaskan bahawa dia tidak mengejar jaringan peribadi sebaliknya hanya mahukan NSFC menang dalam setiap perlawanan.

Dia yang sudah mengumpul enam gol setakat ini, menyedari cabaran getir yang bakal dihadapi pasukan itu sebelum menuju ke puncak saingan.

"Ada lima lagi baki perlawanan bagi penentuan kejuaraan liga musim ini. Kesemua perlawanan itu membabitkan pasukan berpengalaman.

"Saya berharap rakan-rakan dalam pasukan terus kekal fokus dan bersama-sama mempertahankan pencapaian pasukan di kedudukan teratas carta liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 7:44 PM