Penjaga gol skuad Projek FAM-MSN, Al-Iman Wahiey Muhammad Amir (kiri) berjaya menangkap bola ketika diasak pemain Kuching City FC pada aksi Liga Perdana di Stadium MBPG. FOTO Ihsan Kuching City FC.
Penjaga gol skuad Projek FAM-MSN, Al-Iman Wahiey Muhammad Amir (kiri) berjaya menangkap bola ketika diasak pemain Kuching City FC pada aksi Liga Perdana di Stadium MBPG. FOTO Ihsan Kuching City FC.
Rizar Mohd Noor


Pasir Gudang: Kuching City FC semakin hampir menempah slot ke saingan Piala Malaysia selepas menewaskan skuad Projek FAM-MSN, 2-0 pada aksi tertunda Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan Kuching City FC yang berbaki tiga perlawanan melonjak ke tangga ketujuh liga selepas mengumpul 24 mata untuk memintas Kelantan FC serta Kelantan United FC bagi memburu tiga lagi slot ke saingan Piala Malaysia seterusnya mengiringi Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC yang sudah mengesahkan tempat dari pasukan Liga Perdana.

Pada pertembungan itu, skuad Projek FAM-MSN lebih awal menguji benteng pasukan tuan rumah pada minit kesembilan selepas bola rembatan lencong Azhad Harraz Arman di posisi sayap kiri hampir memerangkap penjaga gol, Mohd Iqbal Suhimi yang terpaksa merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Namun skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang terlebih dahulu mencipta gol pada minit ke-12 selepas kapten pasukan, Joseph Kalang Tie yang menerima bola hantaran Michael Ijiezie merembat leret dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Al-Iman Wahiey Muhammad Amir.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila bola gerakan menarik Joseph Kalang pada minit ke-48 yang melorongkan bola tepat kepada Ijiezie bertindak pantas merembat bola kencang menewaskan Al-Iman Wahiey.

Ketinggalan 0-2, anak didik Yusri Che Lah mula menggandakan asakan dalam usaha merapatkan jurang gol namun kekebalan benteng Kuching City FC berjaya menafikan percubaan pasukan pelawat untuk mencipta jaringan dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:51 PM