Pemain skuad Projek FAM-MSN (kiri) cuba menghalang pemain import NSFC dalam aksi Liga Perdana. FOTO Ihsan NSFC
Pemain skuad Projek FAM-MSN (kiri) cuba menghalang pemain import NSFC dalam aksi Liga Perdana. FOTO Ihsan NSFC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hampir berkongsi mata dengan pendahulu Liga Perdana Negeri Sembilan FC (NSFC) membuktikan cabaran skuad Projek FAM-MSN tidak boleh dipandang mudah ketika bersaingan dalam liga domestik negara.

Dibarisi hampir semua pemain berusia 18 dan 19 tahun, skuad kendalian Yusri Che Lah hampir mengikat NSFC pada perlawanan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam malam tadi sebelum tewas menerusi jaringan 1-2.

Pada perlawanan itu, skuad kendalian K Devan terlebih dahulu berada di depan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import mereka Alain Thierry seawal minit ke-11 manakala gol kedua pula disumbangkan oleh penyerangnya, Zaquan Adha Razak.

Gol skuad Projek FAM-MSN pula dijaringkan Azhad Harraz Arman pada minit 67.

Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN Yusri Che Lah berkata, bersaing dengan pemain lebih berpengalaman selain mampu mengekang asakan awang import pasukan lawan sekali gus membuktikan barisan anak buahnya sudah mula mempamerkan aksi matang.

Beliau berkata, peningkatan positif yang dipamerkan anak buahnya menunjukkan kesabaran dan usaha berterusan mampu memberi impak baik kepada mereka yang berpeluang mengembangkan bakat di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.

"Persembahan yang dipamerkan oleh mereka pada malam ini jelas memberi keyakinan untuk berhadapan dengan pasukan yang lebih besar lagi selepas ini.

"Perlawanan menentang Negeri Sembilan dengan kebanyakan mempunyai pemain berpengalaman selain perlu mengekang asakan pemain import sudah tentu ia pengajaran bermakna untuk anak buah saya.

"Banyak perbezaan yang ditampilkan mereka apabila tidak lagi gentar berhadapan dengan pasukan lawan lebih hebat atau ternama selain kekal fokus memberikan tentangan sengit ketika turun ke padang," katanya.

Mengikut rekod, Skuad Projek FAM-MSN akan bertemu dengan dua pasukan handalan Liga Perdana selepas ini masing-masing membabitkan Johor Darul Tak'zim (JDT) II dan Sarawak United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 4:45 PM