BEUM Geum (kanan) diasak pemain JDT II, Gary Steven Robbat dalam aksi perlawanan pertama Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi. FOTO Ihsan NSFC
BEUM Geum (kanan) diasak pemain JDT II, Gary Steven Robbat dalam aksi perlawanan pertama Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) K Devan melahirkan rasa puas hati dengan kemenangan dicipta pasukan itu menewaskan Johor Darul Ta'zim II FC (JDT II) 2-1, dalam aksi pembuka tirai saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pengendali berpengalaman itu berkata, walaupun akui persembahan anak buahnya belum mencapai tahap keupayaan sebenar berbanding pada aksi pemanas badan, namun kutipan tiga mata pada permulaan liga, sangat memberangsangkan.

"Saya puas hati dengan kutipan tiga mata pertama walaupun menerima tentangan sengit daripada JDT II. NSFC berjaya bertahan dengan baik, namun terdapat kelemahan dari segi kawalan bola.

"Keadaan padang basah juga mengganggu sedikit rentak permainan tapi syabas kepada pemain yang menunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan malam ini (tadi)," katanya kepada pemberita sebaik tamat perlawanan.

NSFC meraih dua sepakan penalti masing-masing pada setiap babak perlawanan yang disempurnakan dengan baik oleh kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak dan penyerang berasal dari Cameroon, Alain Akono.

Mengulas mengenai persembahan pemain import, Devan yang juga Pengurus pasukan akui Rafael Gomes Oliveira belum mencapai tahap kecergasan terbaik kerana penyerang berasal dari Brazil itu baharu sahaja tiba di Malaysia.

"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan Akono kerana persembahannya beri impak positif dan mungkin kita akan dapat lihat persembahan yang lebih baik selepas ini kerana dia kali pertama beraksi dalam liga negara ini.

"Bagi dua lagi import, Fernando Pereira (Brazil) dilihat berjaya membantu bahagian pertahanan dengan baik, namun pemain tengah Bae Beom Geum (Korea Selatan) perlu lebih memberi perhatian terhadap hantaran bola ke bahagian serangan.

"Sebagai permulaan liga, saya puas hati dengan persembahan pemain import malam ini," katanya.

Sementara itu, pengendali JDT II, Rafael Gil Sanchez akur dengan kekalahan dialami pasukannya dan menyifatkan dua penalti diperoleh NSFC menjejaskan hasratnya untuk meraih mata.

"NSFC dilihat berjaya bertahan dengan baik, namun kita juga berjaya mencipta banyak peluang tapi tidak dapat disempurnakan dengan jaringan.

"Apapun, saya puas hati dengan usaha dan kerja keras pemain, walaupun kita gagal membawa pulang mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 11:26 AM