KIERAN Trippier diturunkan dalam kesebelasan utama apabila England menggunakan lima pemain pertahanan menentang Itali di final Euro 2020 di Wembley, hari ini. FOTO AFP
KIERAN Trippier diturunkan dalam kesebelasan utama apabila England menggunakan lima pemain pertahanan menentang Itali di final Euro 2020 di Wembley, hari ini. FOTO AFP
AFP

London: Kieran Trippier diturunkan dalam kesebelasan utama England untuk final Euro 2020 di Wembley, hari ini, manakala Itali mengekalkan barisan yang menewaskan Sepanyol di separuh akhir.

Trippier, pemain pertahanan Atletico Madrid diturunkan menggantikan pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka.

Perubahan itu dilakukan jurulatih England, Gareth Southgate untuk menggunakan formasi lima pemain pertahanan yang digunakan ketika menang 2-0 ke atas Jerman di pusingan kedua.

Trippier sebelum ini diturunkan dua kali sebagai pemain gantian ketika menewaskan Ukraine di suku akhir dan Denmark di separuh akhir, Rabu lalu.

Tiada perubahan lain dalam skuad England dan Harry Kane, yang menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan menentang Denmark, akan mengetuai pasukan itu.

England kini memburu trofi pertama antarabangsa selepas menang Piala Dunia 1966 di depan 67,500 penonton.

Italy pula yang memburu gelaran Kejuaraan Eropah pertama sejak 1968, menurunkan barisan sama ketika menang penentuan penalti menentang Sepanyol.

Pemain Chelsea, Emerson Palmieri kekal di posisi bek kiri menggantikan Leonardo Spinazzola yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 2:17 AM