JUDE Bellingham. FOTO AFP
JUDE Bellingham. FOTO AFP
Reuters

London: Jude Bellingham boleh memberikan England semangat yang mereka perlukan, kata pemain pertahanan, Kieran Trippier menjelang aksi kelayakan Euro 2024 menentang Itali.

Bellingham berada dalam prestasi terbaik sejak menyertai Real Madrid pada saat akhir jendela perpindahan pemain apabila dia menjaringkan 10 gol dalam 10 permulaannya untuk pasukan baharunya dalam semua pertandingan.

"Dia mampu melakukan perubahan. Pada usia yang begitu muda, dengan kematangan, kualiti dan sikap agresif yang ada padanya, dia menggerunkan. Ia bukan satu kejutan kerana dia sudah meletakkan standard yang tinggi di Madrid.

"Anda boleh lihat dia bermain dengan bebas dan pemain di sekelilingnya akan menjadikannya lebih baik. Perkara yang menakutkan ialah dia baru berusia 20 tahun," kata Trippier kepada pemberita.

Trippier menambah skuad England sudah mempamerkan peningkatan ketara sejak Piala Dunia 2018.

"Kami tewas dalam perlawanan akhir Euro tetapi perkara yang paling penting ialah kami terus pamer peningkatan dan bermain dengan sangat baik.

"Kami mampu menjaringkan gol dari seluruh padang dan Jude, Madders (James Maddison), Bukayo (Saka), Phil (Foden) masih muda tetapi semua boleh mengubah keputusan pada saat-saat tertentu," katanya.

Trippier turut mempertahankan rakan sepasukan, Jordan Henderson, yang diejek oleh penyokong England semasa kemenangan 1-0 ke atas Australia pada aksi persahabatan, semalam selepas dia menyertai kelab Arab Saudi Al-Ettifaq, awal tahun ini.

"Bagi kami sebagai pemain, kami tetap bersama. Saya melihat Hendo setiap hari. Dia mempunyai watak yang hebat dan seorang pemimpin baik di dalam atau di luar padang," kata Trippier.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 12:31 PM