TRIPPIER menandatangani kontrak tiga tahun di Wanda Metropolitano. — FOTO tottenhamhotspur.com
TRIPPIER menandatangani kontrak tiga tahun di Wanda Metropolitano. — FOTO tottenhamhotspur.com
Reuters

PERTAHANAN kanan England, Kieran Trippier menyertai Atletico Madrid dari Tottenham Hotspur, umum kedua-dua kelab itu malam ini.

Atletico tidak menyatakan jumlah bayaran untuk mendapatkan khidmat Trippier, 28, namun media Britain melaporkan perjanjian itu bernilai £20 juta (RM102 juta) termasuk bayaran lain.

Trippier memainkan peranan penting mengemudi kejayaan England ke separuh akhir Piala Dunia 2018, menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika kalah 1-2 di tangan Croatia pada separuh akhir.

Dia turut membantu Spurs mara ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah mereka musim lalu, apabila mereka tewas 0-2 kepada Liverpool di stadium Atletico, Wanda Metropolitano.

ATLETICO menyambut kehadiran Trippier dalam laman Twitter mereka. — FOTO Twitter Atletico Madrid
ATLETICO menyambut kehadiran Trippier dalam laman Twitter mereka. — FOTO Twitter Atletico Madrid

Trippier pertahanan ketiga menyertai Atletico pada musim panas kali ini selepas dua pemain Brazil, Felipe dan Renan Lodi manakala laporan media Sepanyol menyebut pertahanan tengah Sepanyol, Mario Hermoso turut dijangka menyertai pasukan kendalian Diego Simeone.

Atletico, yang muncul naib juara La Liga musim lalu, mengucapkan selamat tinggal kepada kapten Diego Godin dan pertahanan Juanfran serta Filipe Luis selepas kontrak mereka tamat, manakala pertahanan Perancis, Lucas Hernandez berpindah ke Bayern Munich.

Trippier akan menjadi pemain Inggeris pertama bermain buat Atletico dalam La Liga dan pemain ketiga Britain dalam liga utama Sepanyol musim depan di samping penyerang Scotland, Jack Harper di Getafe dan pemain Real Madrid, Gareth Bale.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 12:56 AM