SEORANG penyokong mengibarkan bendera berwarna pelangi ketika lagu kebangsaan Hungary sedang dimainkan di Allianz Arena. FOTO AFP
SEORANG penyokong mengibarkan bendera berwarna pelangi ketika lagu kebangsaan Hungary sedang dimainkan di Allianz Arena. FOTO AFP
AFP

Budapest: Hungary mendakwa Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) adalah badan induk yang 'menyedihkan dan pengecut' selepas persekutuan bola sepak negara itu didenda kerana tingkah laku penontonnya ketika Euro 2020.

Badan induk bola sepak Eropah itu mengarahkan Hungary untuk beraksi tiga perlawanan seterusnya di tempat sendiri tanpa penonton dan mendenda pihak persekutuan 100,000 euro (RM497,700).

UEFA membuka siasatan berhubung dakwaan kain pemidang gay dan ejekan tarian monyet ketika perlawanan pembukaan Hungary di peringkat kumpulan di Budapest dan kemudian di Munich.

Hungary kemudiannya tersingkir awal pada peringkat kumpulan selepas diundi bersama Portugal, Jerman dan Perancis.

Kerajaan Itali dikritik oleh beberapa negara jiran Kesatuan Eropah kerana melaksanakan undang-undang anti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Nampaknya UEFA terus menggunakan pemberi maklumat yang tidak tahu apa lagi perlu dilakukan. Hanya menulis laporan apa yang diperkatakan oleh penonton," kata Menteri Luar Negara Hungary, Peter Szijjarto di Facebook.

"Seperti dalam fahaman komunis, tiada bukti diperlukan. Laporan daripada pemberi maklumat sudah mencukupi."

Kelakuan sesetengah penyokong Hungary adalah antara beberapa insiden kontroversi tercetus ketika kejohanan itu.

UEFA enggan memenuhi permintaan pihak berkuasa tempatan di Munich untuk menghidupkan pancaran berwarna pelangi di Allianz Arena sebagai tanda sokongan kepada komuniti LGBT menjelang aksi Jerman dan Hungary.

Seorang penyokong Jerman meloloskan diri berlari ke tengah padang dengan memegang bendera berwarna pelangi ketika lagu kebangsaan Hungary dimainkan.

"Tidak salah untuk masuk ke tengah padang ketika lagu kebangsaan dimainkan dan membuat provokasi ke atas pemain," kata Szijjarto yang menyindir UEFA.

"Tidak salah untuk menghalakan cahaya ke penjaga gol lawan (merujuk insiden England di mana Persatuan Bolasepak (FA) sudah pun dikenakan denda).

"Jawatankuasa yang membuat keputusan itu sangat menyedihkan dan pengecut. Mereka sepatutnya malu dengan diri sendiri."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 7:10 AM