PENYOKONG Jerman masuk ke padang membawa bendera pelangi pada perlawanan terakhir Kumpulan F Euro 2020 antara Jerman dan Hungary, Rabu lalu. FOTO AFP
PENYOKONG Jerman masuk ke padang membawa bendera pelangi pada perlawanan terakhir Kumpulan F Euro 2020 antara Jerman dan Hungary, Rabu lalu. FOTO AFP
AFP

Lausanne: Uefa melancarkan siasatan 'insiden diskriminasi' ketika Jerman seri 2-2 dengan Hungary, yang dibayangi pertikaian mengenai undang-undang baharu anti gay diperkenalkan Hungary.

Dalam kenyataan hari ini, badan induk bola sepak Eropah itu tidak menjelaskan insiden ketika aksi Euro 2020 di Munich itu, yang menyaksikan Jerman layak ke pusingan kedua manakala Hungary tersingkir.

Bagaimanapun, jurucakap Uefa memberitahu AFP bahawa ia berkaitan insiden dan sikap di tempat duduk penonton.

Akhbar harian Jerman, Bild melaporkan, penyokong Hungary - yang disiasat kerana 'menyanyi lagu monyet' ketika pasukan mereka seri 1-1 dengan Perancis di Budapest – menyanyi lagu anti gay ke atas penyokong Jerman sebelum sepak mula perlawanan Rabu lalu.

Wartawan AFP yang turut menyaksikan kedua-dua pihak termasuk penyokong Jerman yang memakai pakaian warna pelangi turut membalas semula dalam keadaan marah sehingga memaksa polis masuk campur.

Malah, situasi sebelum perlawanan dihangatkan dengan keputusan Uefa tidak membenarkan pihak berkuasa Munich menghiasi Allianz Arena dengan warna pelangi sebagai sokongan kepada komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Hungary.

Uefa dan kerajaan Hungary dikecam kerana undang-undang mereka melarang promosi homoseksual ke atas kanak-kanak bawah umur.

Penyokong Jerman datang ke stadium dengan memakai pakaian warna pelangi dan seorang penyokong mereka masuk ke padang membawa bendera pelangi ketika lagu kebangsaan Hungary berkumandang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 8:32 PM