PEMBANTU jurulatih Belgium Thierry Henry sedang berbincang dengan Vertonghen pada sesi latihan di La Cartuja stadium. FOTO AFP
PEMBANTU jurulatih Belgium Thierry Henry sedang berbincang dengan Vertonghen pada sesi latihan di La Cartuja stadium. FOTO AFP
AFP

Seville, Sepanyol: Jan Vertonghen berkata fokus Belgium bukan hanya tertumpu kepada Cristiano Ronaldo ketika Red Devils bersiap sedia untuk menentang Portugal dalam pertembungan 16 terbaik di Euro 2020 membabit antara dua pasukan pilihan kejohanan itu.

Ronaldo mendahului senarai penjaring terbanyak di Euro dengan lima gol selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan namun pertahanan Benfica, Vertonghen perlu mengawasi keseluruhan serangan dari juara Eropah ke kubu Belgium yang memburu gelaran pertama di kejohanan utama.

"Dia pemain terhebat dalam sejarah Portugal dan kami perlu menghormatinya dan saya sangat menghormatinya tapi esok bukan hanya Belgium menentang Ronaldo, ia adalah perlawanan Belgium menentang Portugal dan mereka mempunyai ramai pemain yang hebat," kata Vertonghen.

"Dia penyerang yang menjaringkan gol hampir dalam setiap perlawanan dan membuktikannya berkali-kali.

"Dia adalah fenomena. Dia berusaha keras dan berlatih setiap masa dan apa yang dilakukannya selama ini memang layak untuk dikecapi. Dia mungkin boleh bermain sehingga berusia 40 tahun," katanya.

Vertonghen turut memuji bintang Belgium Romelu Lukaku, yang kini ketinggalan dua gol di belakang Ronaldo.

Pemain berusia 28 tahun itu mengatasi Ronaldo dalam Serie A sebagai penjaring terbanyak dengan kelebihan lima gol dan menjadi watak utama buat Inter Millan yang meraih gelaran juara liga pertama selepas satu dekad.

"Salah satu cara mentakrifkannya adalah dia sebagai satu daripada penyerang terbaik dunia.

"Saya mengenalinya sejak dia berusia 16 tahun dan dia berdepan banyak kritikan terhadap permainannya tapi cara dia mengawal semua itu menjadikan dia kuat dan begitu cepat menjadi salah seorang penyerang terbaik di dunia dan satu perkara yang terbaik pernah saya lihat dalam karier saya.

"Dia sangat beretika dan tidak dapat ditandingi, setiap trofi, setiap trofi individu yang diperolehnya dan ke mana saja dia pergi semuanya membabitkan etika kerja."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 8:21 AM