AKRAM (tengah) memperkatakan sesuatu kepada barisan pemain ketika sesi latihan sebelum PKP. FOTO Nazri Abu Bakar
AKRAM (tengah) memperkatakan sesuatu kepada barisan pemain ketika sesi latihan sebelum PKP. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pasukan Liga Super Melaka United (MU) belum dapat memastikan status enam perlawanan persahabatan yang dijadualkan bermula hujung bulan ini.

Pengurus pasukan MU, Muhammad Akram Abdullah berkata, mengikut perancangan aksi pertama membabitkan pasukan berdepan PJ City pada 27 Januari dalam rangka membentuk persefahaman pemain menjelang saingan liga kelak.

Katanya, perlawanan lain termasuk membabitkan pertemuan berdepan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) selain JDT II, Terengganu FC dan Sri Pahang FC.

Menurutnya, kesemua perlawanan berkenaan disusun sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 untuk mengenal pasti kelebihan dan keupayaan pemain menyerap strategi jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

Malah ia dilihat amat penting untuk meningkatkan pembentukan pasukan terutama dengan kehadiran muka baharu selain penyertaan semula kira-kira 70 peratus pemain musim lalu.

"Namun dengan situasi semasa, sukar dipastikan ia mampu dilaksanakan mengikut jadual. Sekiranya PKP 2.0 ditamatkan awal besar kemungkinan perlawanan itu akan diteruskan seperti yang dirancang.

"Bagaimanapun, jika ia disambung, pengurusan akan meneliti jadual perlawanan persahabatan yang difikirkan sesuai berdasarkan jadual baharu liga oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL)," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menunggu sebarang pengumuman baharu daripada pihak kerajaan dan MFL berkaitan perkembangan dari masa kesemasa.

Akram berkata, sudah pasti pihaknya mengharapkan pandemik Covid-19 segera berakhir bagi membolehkan jadual yang disusun mampu mengikut perancangan awal berkenaan.

Dalam pada itu, dia juga mengharapkan pemain tidak mengabaikan aspek kecergasan mereka sepanjang tiada latihan sehingga 26 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 2:47 PM