PEMAIN Itali meraikan kemenangan 3-0 ke atas Switzerland untuk layak ke pusingan kalah mati. FOTO AFP
PEMAIN Itali meraikan kemenangan 3-0 ke atas Switzerland untuk layak ke pusingan kalah mati. FOTO AFP
AFP

Rome: Penyerang Itali, Federico Chiesa berkata, dia menjangkakan saingan hebat daripada bintang Wales, Gareth Bale dan Aaron Ramsey pada ketika Azzurri mahu melebarkan pencapaian 10 kemenangan tanpa dibolosi.

Skuad bimbingan Roberto Mancini akan menentang Wales untuk menentukan tempat teratas Kumpulan A di Rome, Ahad ini, selepas mereka menang 3-0 ke atas Turki dan Switzerland, sekali gus layak ke pusingan kalah mati.

Itali tidak tewas sejak September 2018 dan Ahad ini, Mancini mampu menyamai pencapaian jurulatih, Vittorio Pozzo yang dua kali membawa Itali memenangi Piala Dunia dengan rekod tidak kalah 30 perlawanan antara 1935 dan 1939.

"Wales adalah pasukan yang biasanya akan melawan. Mereka memiliki pemain berpengaruh di peringkat antarabangsa terutama Gareth Bale," kata Chiesa, yang turut bimbang dengan rakan sepasukannya di Juventus, Aaron Ramsey.

"Begitu juga dengan Ramsey. Dia bukan pemain biasa dan cukup bijak. Kemahiran teknikalnya tinggi dan saya menghormatinya sama ada di dalam atau luar padang bersama Juventus."

Wales memiliki empat mata selepas dua aksi di Baku dan satu lagi mata akan mengesahkan mereka mara ke pusingan kalah mati dan jika menewaskan Itali, mereka akan menduduki tangga teratas Kumpulan A.

"Terdapat tenaga, tarikan dan kredit harus diberikan kepada Mancini," kata Chiesa, bercakap di pangkalan latihan pasukan Itali di Florence.

"Penyokong ada hak untuk bermimpi dan kami bersama mereka. Kami mahu mara sejauh mungkin dan menikmati mimpi indah itu."

Chiesa belum lagi diturunkan dalam dua perlawanan kumpulan.

"Sudah tentu, kami sentiasa berharap untuk diturunkan dan saya menerima keputusan jurulatih. Saya bersedia apabila dia mahu menggunakan khidmat saya," kata penyerang berusia 23 tahun itu.

"Kami semua adalah pemain permulaan dan jurulatih mahu kami bersedia sepanjang masa."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 1:11 AM