REAKSI Bale pada perlawanan hari ini. FOTO EPA
REAKSI Bale pada perlawanan hari ini. FOTO EPA
AFP

Paris: Wales meraikan kejayaan mara ke pusingan 16 terakhir Euro 2020 di sebalik tewas 0-1 kepada Itali di Rom hari ini.

Gareth Bale dan rakan sepasukannya di Wales tewas 0-1 di tangan Itali di Stadio Olimpico hasil jaringan tunggal Matteo Pessina.

Wales menyaksikan Ethan Ampadu dibuang padang dan gagal mendapatkan gol penyamaan namun keputusan itu sudah mencukupi untuk mereka layak apabila menduduki tempat kedua Kumpulan A kerana mempunyai kelebihan jumlah jaringan berbanding Switzerland yang menewaskan Turki 3-1 di Baku.

"Kami mahu mendapatkan keputusan terbaik tetapi paling penting ialah kami menamatkan saingan di kedudukan kedua," kata Bale kepada stesen penyiar ITV.

"Kami ada masa untuk berehat seketika sekarang sebelum kembali fokus perlawanan seterusnya."

Wales yang melangkah sehingga ke separuh akhir Euro 2016, akan beraksi pada pusingan 16 terakhir di Amsterdam, Sabtu ini menentang naib juara Kumpulan B, iaitu sama ada Russia, Denmark atau Finland.

Itali kini mengharungi 30 perlawanan tanpa tewas dan meraih kemenangan kali ke-11 berturut-turut tanpa melepaskan gol.

"Kami tidak merasai tekanan. Kami hanya mahu menikmati perlawanan ini dan mewakili negara," kata pemain tengah Itali, Marco Verratti.

Kemenangan terbaru itu hadir meskipun jurulatih Itali, Roberto Mancini melakukan lapan pertukaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 5:34 AM