Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bukan mudah menyerahkan Harimau Malaya kepada 'tuan baru' apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu perhalusi sebaiknya mengikut tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sebarang keputusan.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataannya berkata, badan induk bola sepak negara itu sedia maklum cadangan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan diri mengendali serta menguruskan skuad kebangsaan pada saingan antarabangsa akan datang.

"Pertama, saya menjunjung kasih kepada Tunku Ismail dan mengambil maklum cadangan dikemukakan selaku mantan Presiden FAM berhubung skuad kebangsaan tempoh hari.

"Walau bagaimanapun, perkara itu perlu diperhalusi sebaiknya kerana FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan," katanya.

Terdahulu, prestasi hambar skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendorong Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) meminta izin untuk menawarkan diri mengendalikan seterusnya menguruskan skuad kebangsaan dalam saingan antarabangsa selepas ini.

Tawaran Tunku Ismail hadir berikutan kekalahan berturut-turut yang dialami oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam lima aksi antarabangsa dilalui setakat ini.

Daripada lima pertemuan termasuk perlawanan persahabatan, skuad kebangsaan tewas empat kali antaranya kepada Kuwait, Bahrain, UAE dan Vietnam dan hanya mencatatkan satu kemenangan ketika bertemu Thailand.

Sementara itu, berkaitan prestasi pemain naturalisasi cukup menyedihkan, Hamidin sudah mengarahkan sekretariat FAM untuk membincangkan isu berkenaan bagi mengkaji sama ada program berkenaan berkesan atau sebaliknya.

"Isu pemain naturalisasi, saya mengarahkan sekretariat FAM untuk dibincangkan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi secara bersama dengan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM serta Pengarah Teknikal FAM Datuk Ong Kim Swee bertujuan mengkaji keberkesanan program pemain naturalisasi ini.

"Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM akan menunggu laporan penuh 'post-mortem' daripada Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya selepas berakhir tempoh kuarantin pasukan.

"Mengenai persembahan skuad Harimau Malaya sepanjang Pusingan 1 dan Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta persediaan awal pasukan bagi menghadapi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal bermula pada Februari 2022 akan dibincangkan dan diperhalusi dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang akan datang," katanya.

Menurutnya lagi, semua perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk dimuktamadkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 7:41 PM