DATUK Jamal Nasir Ismail. FOTO NSTP
DATUK Jamal Nasir Ismail. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menganggap langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membekukan sementara projek naturalisasi adalah keputusan yang tepat pada masanya.

Malah katanya, kesungguhan badan induk itu untuk memperluaskan pencarian pemain berdarah kacukan dianggap bijak dan lebih sesuai berbanding mengenengahkan tonggak naturalisasi.

Katanya, roh dan jiwa pemain naturalisasi tidak sama dengan tonggak berstatus kacukan di mana semangat kenegaraan tetap ada di hati kerana ibu bapa atau keluarganya berasal dari negara ini.

"Itu perkara (menangguhkan projek naturalisasi) yang amat baik. Kita kena faham, pemain naturalisasi ini tiada kaitan dengan negara yang diwakili jadi rohnya tidak sama dengan kacukan.

"Ada antara mereka yang sudah berada di hujung karier jadi mereka mengambil peluang daripada slot naturalisasi untuk meneruskan kerjaya semata-mata sebelum memikirkan persaraan selepas itu.

"Tapi pemain kacukan ini lain, mereka lebih patriotik kerana masih mempunyai pertalian darah dengan negara ini seperti ibu atau bapa mereka. Jadi apabila bermain, kita boleh nampak perbezaan semangat yang ditunjukkan," katanya kepada Arena Metro.

Selasa lalu, FAM memutuskan untuk menangguhkan sementara program naturalisasi membabitkan skuad Harimau Malaya berikutan kegagalan memperagakan aksi terbaik di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE Jun lalu.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, keputusan membekukan projek terbabit bagi memberi laluan buat tiga jawatankuasa teknikal meneliti keberkesanan program itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat FAM akan datang.

Mengulas lanjut, Jamal yang pernah membantu skuad Harimau Malaya mengharungi Kelayakan Sukan Olimpik 1980 hingga berjaya layak sebelum kerajaan memboikot temasya itu berkata, FAM harus memperhebatkan program pembangunan bagi melahirkan lebih ramai pemain tempatan berkualiti.

"Saya dari dulu kerap ingatkan FAM supaya fokus kepada pembangunan akar umbi. Apabila pembangunan kita bagus, rasanya tak perlu lagi kita nak bergantung kepada pemain naturalisasi lagi," katanya.

Beliau berkata, cadangan untuk memberi tumpuan dan menyenaraikan tonggak yang mempunyai minit permainan di Liga Malaysia juga tepat dan beliau berharap ia dilaksanakan pada kempen Piala AFF hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 5:22 PM