NEGO pemain kelahiran Perancis yang kini beraksi bersama Hungary. FOTO AFP
NEGO pemain kelahiran Perancis yang kini beraksi bersama Hungary. FOTO AFP
AFP

Budapest: Pemain tengah Hungary kelahiran Perancis, Loic Nego menganggap aksi menentang Les Bleus di Budapest dalam saingan Euro 2020 malam esok adalah detik istimewa dalam hidupnya.

Perancis akan tetap diingati sebagai ''negara kelahiran saya, tempat saya membesar jadi ia pastinya istimewa,'' kata Nego yang berusia 30 tahun.

Tetapi hati Nego kini bersama Hungary, negara angkatnya yang menawarkan tempat dalam skuad kebangsaan tujuh tahun lalu selepas tiba di negara itu pada 2013 ketika berusia 22 tahun.

Dia tampil dalam aksi pertama kejohanan utamanya sebagai pemain gantian pada minit ke-65 ketika tewas 0-3 kepada Portugal pada Selasa lalu.

Mendapat kerakyatan Hungary menerusi naturalisasi pada 2019, dia dipanggil tahun lalu oleh jurulatih, Marco Rossi untuk memperkasakan cabaran pada kelayakan Euro 2020.

"(Rossi) memberi saya peluang dan saya berterima kasih kepadanya,'' kata Nego yang beraksi bersama kelab MOL Fehervar (sebelum ini dikenali Videoton).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 11:07 AM