PENYERANG England, Raheem Sterling (tengah) dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang Croatia di Stadium Wembley. FOTO AFP
PENYERANG England, Raheem Sterling (tengah) dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang Croatia di Stadium Wembley. FOTO AFP
AFP

London: Raheem Sterling memastikan England memulakan kempen Euro 2020 dengan sempurna apabila jaringannya memastikan kemenangan 1-0 ke atas Croatia pada perlawanan pembukaan Kumpulan D, hari ini.

Anak buah Gareth Southgate berdepan kesukaran merobek benteng Croatia sehinggalah Sterling menjaringkan gol pada masa kedua perlawanan di bawah pancaran matahari terik di Wembley.

Jaringan sulung pemain berusia 26 tahun itu dalam perlawanan besar - perlawanan ke-13nya bersama skuad kebangsaan - adalah jawapan sesuai terhadap pengkritik yang mempersoalkan keputusan Southgate menurunkannya berbanding Jack Grealish.

Hubungan Sterling dengan penyokong England agak dingin selepas dia dicemuh kerana persembahan longlai pada Euro 2016.

Dia turut berdepan kesukaran mengekalkan tempat dalam kesebelasan Manchester City musim ini, di samping persembahan kurang bertenaga ketika juara Liga Perdana Inggeris itu tewas final Liga Juara-Juara Eropah di tangan Chelsea.

Tetapi, beberapa hari selepas dianugerahkan MBE menerusi Senarai Penghormatan Hari Lahir Ratu England berikutan sumbangannya dalam kempen anti perkauman, Sterling menikmati detik sempurna di tengah padang.

Disifatkan perlawanan ulangan separuh akhir Piala Dunia 2018 yang dimenangi Croatia, England kurang bertenaga sehinggalah Sterling muncul penyelamat untuk memastikan tiga mata.

Jaringan Sterling untuk mengurangkan tekanan penyokong di Wembley dan menyalakan impian penyokong bahawa bola sepak kembali ke tempat asal dan mengatasi pencapaian layak ke separuh akhir ketika mereka menjadi tuan rumah Euro 96.

Malah, mereka mengimpikan kemenangan pertama kejohanan utama selepas menang Piala Dunia 1966.

Secara keseluruhannya, ia bukanlah prestasi yang meyakinkan, namun Southgate boleh berbangga dengan cara pasukannya menyerap tekanan daripada pelbagai sudut.

England akan melayan skuad jiran, Scotland pada perlawanan kedua Kumpulan D, Jumaat ini sebelum menentang Republik Czech pada perlawanan akhir peringkat kumpulan pada 22 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 11:21 PM