FABIO Lima (kanan) bukan hanya muncul penggerak utama malah turut berjaya mencetak nama selaku penjaring. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
FABIO Lima (kanan) bukan hanya muncul penggerak utama malah turut berjaya mencetak nama selaku penjaring. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ada dua perkara yang terlintas selepas perlawanan antara Harimau Malaya dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ditamatkan.

Pertama, apa dah jadi dengan dua pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula yang diletakkan harapan tinggi untuk membantu kemajuan pasukan negara dan kedua, mengapa naturalisasi kita tak sehebat pemain naturalisasi UAE?

Adakah pemilihan yang dilakukan hanya sekadar untuk melepaskan batuk di tangga bagi memenuhi kehendak pasukan hingga sanggup mengabaikan kualiti yang sepatutnya menjadi asas utama sebelum diserapkan.

Walaupun apapun jawapannya, jelas terpampang pemain naturalisasi kita sebenarnya langsung tidak menunjukkan kualiti atau memenuhi piawaian dan standard antarabangsa.

Lihat saja Fabio Lima yang beraksi untuk UAE, bagaimana penyerang Brazil yang diberi kerakyatan itu berjaya membawa satu nilai tambah buat pasukan, dan bukan hanya muncul penggerak utama malah turut berjaya mencetak nama selaku penjaring.

Kualiti seperti itulah yang sebenarnya diharapkan di bahu pemain bertaraf naturalisasi di mana kehadiran mereka sepatutnya lebih baik berbanding pemain tempatan yang mungkin kekurangan dari segi pengalaman serta fizikal.

Lantas kualiti pemilihan seseorang pemain itu perlu dititik beratkan oleh pentadbir bola sepak negara selepas ini dengan mengambil kira semua aspek sebelum menawarkan tempat ke dalam pasukan.

Antara pemain import Liga Malaysia yang harus diberi perhatian untuk dinaturalisasikan ialah pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Cabrera selain tonggak tengah Kuala Lumpur City, Romel Morales.

Kedua-duanya mempunyai work rate yang tinggi di atas padang dan sering memberi impak positif dengan mampu mengubah dan mempengaruhi keputusan perlawanan menerusi kualiti yang dimiliki.

Namun jika pemilihan tangkap muat terus berlaku, ada baiknya pemain tempatan diberi peluang beraksi dengan penuh bersemangat dan bermati-matian demi lencana di dada.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 6:36 PM