GALTIER tinggalkan Lille tiga hari selepas membantu pasukan berkenaan muncul juara liga. FOTO AFP
GALTIER tinggalkan Lille tiga hari selepas membantu pasukan berkenaan muncul juara liga. FOTO AFP
AFP

Paris: Jurulatih, Christophe Galtier memberitahu L'Equipe bahawa beliau sudah meletak jawatan sebagai jurulatih Lille dua hari selepas memenangi gelaran Ligue 1.

"Saya percaya bahawa masa saya sudah sampai setakat ini saja," katanya kepada akhbar harian sukan Perancis itu.

Galtier, yang dilantik pada 2017 berkata, beliau mendapat tawaran daripada beberapa kelab termasuk Nice dan Lyon di Peracis serta pasukan Serie A, Napoli.

Pengendali kelahiran Marseille berusia 54 tahun itu berkata, beliau mahu berhijrah kerana tidak mahu berasa kecewa.

"Saya rasa sekarang adalah masanya," kata Galtier.

Galtier sudah berjaya mengubah nasib Lille selepas menggantikan Marcelo Bielsa pada pertengahan musim 2017-18.

Lille berjaya mengelak daripada tersingkir dan kemudiannya mereka menduduki tempat kedua di belakang Paris Saint Germain (PSG) ketika Galtier berjaya membimbing pasukan berkenaan satu musim yang penuh buat kali pertama.

Lille menduduki tempat keempat apabila aksi musim lalu ditamatkan lebih awal kerana pandemik Covid-19 dan kelmarin mereka muncul juara buat kali pertama sejak 2011.

Pada perlawanan terakhir musim 2020/21, mereka berjaya mengalahkan Angers 2-1 untuk memastikan memiliki kelebihan satu mata mengatasi PSG.

Bekas pengurus Saint Etienne itu merancang untuk mengikat kontrak dengan kelab barunya hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 9:42 AM