BURAK Yilmaz (kanan) antara tonggak penting Lille. FOTO AFP
BURAK Yilmaz (kanan) antara tonggak penting Lille. FOTO AFP
AFP

Paris: Penentu gelaran Ligue 1 akan diketahui Isnin dengan pendahulu liga, Lille bersedia meranapkan impian PSG yang dibarisi Neymar dan Kylian Mbappe.

Skuad bimbingan Christophe Galtier tidak mempunyai barisan pemain ternama namun mereka tidak pernah tewas sejak November tahun lalu dan akan bertemu Angers, pasukan yang sudah tewas lima daripada enam perlawanan terakhir.

Dengan mengumpul 80 mata, Lille hanya mempunyai kelebihan satu mata berbanding PSG yang memenangi Piala Perancis pertengahan minggu lalu.

Galtier menjadi watak penting kepada kebangkitan bekas juara tiga kali itu dan yakin barisan pemain Lille akan menyelesaikan tugas mereka dengan baik, Isnin ini.

"Kempen kami banyak dibantu aksi cemerlang di tempat lawan. Kami perlu teruskan momentum ini," katanya.

Penyerang Turki, Burak Yilmaz, 35, adalah penjaring terbanyak Lille dengan 15 gol berbanding Mbappe yang muncul penjaring terbanyak Ligue 1 dengan 26 gol namun kelab itu mempunyai tahap persefahaman yang tinggi.

Lille yang sedang memburu kejuaraan liga pertama selepas sedekad, mempunyai bajet lebih rendah berbanding Lyon, Marseille dan Monaco serta sudah pastinya PSG.

Ketua jurulatih PSG, Mauricio Pochettino menegaskan barisan pemainnya akan melakukan yang terbaik apabila bertemu Brest di tempat lawan.

"Kami perlu percaya bahawa ia tidak mustahil. Selesaikan tugas kami dengan memenangi perlawanan di Brest dan lihat jika Lille berdepan masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 12:31 PM