NEYMAR mengalami kecederaan buku lali. FOTO AFP
NEYMAR mengalami kecederaan buku lali. FOTO AFP
Reuters

Paris: Penyerang Paris St Germain (PSG), Neymar akan terlepas dua perlawanan kerana mengalami kecederaan buku lali.

Menurut jurulatih PSG, Christophe Galtier, Neymar tidak dapat beraksi menentang Nantes dalam saingan Ligue 1 dan aksi kedua 16 akhir Liga Juara-Juara bertemu Bayern Munich.

Pemain antarabangsa Brazil itu dibawa keluar ketika PSG menang 4-3 mengatasi Lille 19 Februari lalu dan kemudiannya disahkan mengalami kecederaan ligamen kaki.

Galtier menambah bahawa beliau mahu mengisi kekosongan ditinggalkan Neymar dengan pemain tengah berbanding penyerang seperti dilakukan ketika menang 3-0 minggu lalu mengatasi Olympique de Marseille.

"Tidak memilikinya (Neymar) adalah satu kehilangan besar, tapi kami mungkin menambah seorang pemain tengah untuk menyeimbangkan pasukan," kata Galtier.

"Kerja dua penyerang saya (;Lionel Messi dan Kylian Mbappe) dan tiga pemain tengah menakjubkan ketika berdepan Marseille. Tanpa Neymar kami akan bermain dengan tiga pemain tengah dan dua penyerang."

Juara bertahan Ligue 1 itu juga akan beraksi tanpa pertahanan Achraf Hakimi, ketika mereka mahu mengatasi defisit 1-0 dalam Liga Juara-Juara di Bayern Munich awal pagi Khamis ini namun keutamaan Galtier ialah pertembungan dengan Nantes terlebih dahulu.

"Skuad kami lemah kerana penggantungan dan kecederaan, kami perlu mengatasinya dalam liga," kata jurulatih dari Perancis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 11:48 AM