MOHD Saiful letak jawatan baru-baru ini.
MOHD Saiful letak jawatan baru-baru ini.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United FC (MUFC), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri yang melepaskan jawatan baru- baru ini bakal kembali ke pangkuan Persatuan Bola sepak Melaka United (Musa) dalam tempoh terdekat.

Saiful berkata, beliau diminta oleh Ketua Menteri Melaka untuk membangunkan kemudahan dan fasaliti sukan berkenaan berdasarkan pengalaman yang dimiliki dan dijangka kembali menyertai semula Musa dalam tempoh sebulan lagi.

Beliau yang pernah dilantik sebagai Exco Musa selama lima tahun bermula 2015 kemudiannya menjawat jawatan Bendahari Kehormat pada April 2020 sebelum dilantik CEO MUFC pada November 2020 meletakkannya antara tokoh penting untuk membangun persatuan itu kelak.

Menurutnya, beliau melepaskan jawatan CEO selepas mendapati MUFC semakin kukuh menerusi sumber kewangan yang mantap berdasarkan pemilikan baharu oleh syarikat dipertanggungjawabkan.

Sehubungan itu, beliau mahu menumpukan masa kepada perniagaan dalam tempoh berkenaan sebelum menyertai semula Musa.

"Selepas usaha membawa masuk penaja dan pemilikan baharu MUFC, saya mendapati ianya sudah kukuh untuk Melaka United berdiri sendiri dengan pelantikan CEO yang baharu kelak.

"Malah sepanjang memegang jawatan berkenaan tidak timbul isu gaji kerana semuanya berjaya diselesaikan dengan baik kerana tunggakan gaji sehingga pasukan dipotong tiga mata baru baru ini ketika saya bukan CEO MUFC," katanya.

Justeru, buat masa ini dia akan memfokuskan kepada perniagaannya terlebih dahulu dan akan kembali ke pangkuan Musa.

Dalam pada sama beliau menolak tanggapan merajuk atau berkecil hati dengan prestasi semasa pasukan menjadi punca peletakan jawatannya. Sebaliknya beliau menjelaskan, peletakan jawatan itu dilakukan setelah memikirkan sedalamnya demi memberi sepenuh perhatian kepada perniagaan yang selama ini agak terabai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 6:03 PM