SULAIMAN (empat dari kiri) ketika melancarkan jersi MUFC. FOTO Musa
SULAIMAN (empat dari kiri) ketika melancarkan jersi MUFC. FOTO Musa
Nazri Abu Bakar

amhmetro.com.my

Melaka: Melaka United Football Club (MUFC) mengekalkan warna hijau sebagai jersi utama pasukan berkenaan yang sinonim dengan skuad Hang Tuah bagi saingan Liga Malaysia 2021.

Majlis pelancaran jersi baharu berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa), Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Sulaiman berkata, majlis pelancaran kali ini mencatat sejarah diadakan secara atas talian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Menurutnya, musim ini menyaksikan MU menggunakan pakaian keluaran jenama sukan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd buat tahun yang kedua dengan warna hijau muda dipilih sebagai jersi tuan rumah.

Katanya, pemilihan berkenaan sekali gus mengekalkan warna tradisi yang sinonim dengan dengan pasukan terbabit, sementara jersi di tempat lawan pula berwarna kelabu dan bagi jersi ketiga bakal dilancarkan sekitar April depan.

Sehubungan itu, beliau dan seluruh peminat mengharapkan jersi baharu berkenaan mampu membangkitkan semangat pemain untuk memberikan terbaik sepanjang musim ini dalam melakar kejayaan gemilang.

"Dalam masa sama saya memohon penyokong untuk terus berdoa supaya rantaian pandemik Covid-19 bakal lenyap bagi membolehkan peminat kembali ke stadium memberikan sokongan padu buat pasukan.

"Apa yang pasti kehadiran penyokong ke gelanggang perlawanan mampu mengembalikan kemeriahan dan keceriaan bola sepak Malaysia seperti sebelum Covid-19 terutama buat pasukan MUFC," katanya.

Hadir sama pada pelancaran berkenaan, Ketua Eksekutif MUFC Sdn Bhd, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 2:08 PM