WAN Amirul Afiq (kiri) antara yang tidak dapat beraksi. FOTO Nazri Abu Bakar
WAN Amirul Afiq (kiri) antara yang tidak dapat beraksi. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) berdepan laluan berduri untuk mengekalkan momentum kemenangan ke atas Perak apabila dijadualkan menanti kehadiran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi Liga Super Jumaat ini di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Ia susulan kecederaan bintang utama selain beberapa pemain yang digantung perlawanan sekali gus memaksa pasukan terbabit bergantung kepada pemain simpanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, situasi terbabit mendorong perancangan jurulatih Zainal Abdiin Hassan menurunkan pemain simpanan bagi mengantikan beberapa pemain utama.

Katanya, menerusi perkhabaran itu bermakna barisan pemain yang berjaya membantu pasukan meraih mata maksimum di Ipoh minggu lalu bakal berubah.

Menurutnya, kecederaan dan pengantungan termasuk penyerang utama Sony Norde, Alex Goncalves selain pemain pertahanan Mohd Akmal Mohd Zahir, Wan Amirul Afiq Abd Rahman dan Khairul Anwar Shahrudin memberi sedikit impak buat pasukan dalam perlawanan terbabit.

"Bagaimanapun, inilah masanya pemain yang jarang diturunkan untuk beraksi dengan cemerlang dan merebut tempat dalam kesebelasan utama. Mereka juga perlu membukti keupayaan mereka untuk bersaing.

"Sehubungan itu, siapa sahaja yang disenaraikan dituntut untuk memberikan yang terbaik dan berjuang habis-habisan walaupun menyedari Kedah pasukan liat ditewaskan," katanya.

Dalam masa sama dia yakin kemenangan di Ipoh minggu lalu, menjadi pendorong dan motivasi kepada pemain untuk meraih kemenangan ke atas pelawat kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 7:51 PM