GONCALVES (kiri) dan Norde diharap mampu memberi impak menjelang aksi persahabatan Ahad ini. FOTO Ihsan Melaka United
GONCALVES (kiri) dan Norde diharap mampu memberi impak menjelang aksi persahabatan Ahad ini. FOTO Ihsan Melaka United
Nazri Abu Bakar

Melaka: Melaka United (MU) akan menurunkan kesemua importnya pada ujian persahabatan berdepan Kelantan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Ahad ini.

Mereka membabitkan gandingan dua penyerang baharu, Alex Goncalves dari Brazil dan Stefan Nikolic (Montenegro) serta tunjang skuad kebangsaan Filipina, Manuel Gelito Ott, pemain sayap kelahiran Haiti, Sony Norde dan pertahanan Korea Selatan, Jang Suk Won.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, perlawanan berkenaan medan penting sebagai persediaan menjelang aksi pembukaan Liga Super berdepan Sri Pahang di lokasi sama pada 6 Mac depan.

Katanya, perlawanan juga titik tolak ujian keserasian Goncalves dan Nikolic untuk memecah kubu lawan menerusi kelebihan, kemahiran dan pengalaman masing-masing selain Ott, Node dan Suk Won.

Menurutnya, berdasarkan prestasi semasa termasuk sesi latihan gabungan berkenaan dilihat mampu menampilkan sentuhan berbisa seperti yang diharapkan.

"Apapun kita tunggu dan lihat hasilnya dalam perlawanan berdepan Kelantan. Justeru saya mengharapkan taktikal baharu yang dibentuk ketua jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan mampu direalisasikan oleh mereka.

"Musim ini saya lihat persembahan pasukan agak berbeza menerusi sumbangan dua penyerang berbanding hanya seorang pada musim lalu," katanya.

Dalam masa sama dia mengharapkan pemain tempatan juga dapat bergerak agresif dengan barisan import untuk mempertahankan kubu, membentuk gerakan dan memburu jaringan.

Baginya, diatas kertas barisan pemain berpengalaman yang pernah bersama pasukan kebangsaan seperti Khairul Helmi Johari, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Khairul Fahmi Che Mat mampu untuk tampil serasi dengan barisan import termasuk dalam kalangan pemain muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 7:40 PM