KAPTEN Melaka United , Razman Roslan (hijau) mengawal bola daripada dirampas pemain KL City, Muhammad Akram Mahinan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. FOTO Nazri Abu Bakar
KAPTEN Melaka United , Razman Roslan (hijau) mengawal bola daripada dirampas pemain KL City, Muhammad Akram Mahinan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. FOTO Nazri Abu Bakar
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan menganggap kemenangan 2-1 ke atas KL City di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi bukan disebabkan selepas pemotongan tiga mata ke atas skuad berkenaan.

Sebaliknya, pemain mempamerkan rentak sebenar untuk tampil menebus kehampaan selepas sekadar seri empat kali dalam perlawanan awal sebelum ini.

Malah baginya, anak buahnya bermain dengan begitu positif untuk tidak menghampakan kali ini dengan merencana strategi menyerang dari awal babak permainan untuk mencari gol kemenangan.

Justeru, dua gol penyerang import Brazil Alex Goncalves menerusi sepakan penalti pada minit ke-51 dan ke-81 cukup untuk pasukan itu ceria dengan kemenangan pertama selepas lima perlawanan, walaupun lawan merapatkan jurang menerusi pemain gantian Abdul Azim Rahim pada m-89 aksi.

"Biarpun bukan jaringan padang, namun gol penalti yang diperoleh menyumbang kutipan mata maksimum jelas menampilkan karektor pemain untuk bertindak cemerlang.

"Ianya berikutan pemain merangka banyak peluang jaringan menerusi gerakan-gerakan menarik babak pertama dan kedua.

"Namun penalti diperoleh rezeki kami kerana dalam bola sepak apa-apa saja boleh berlaku," katanya.

Penjaring penalti Melaka United, Alex Goncalves (kiri) mengatasi kawalan pemain KL City Muhammad Irfan Zakaria (hitam)
Penjaring penalti Melaka United, Alex Goncalves (kiri) mengatasi kawalan pemain KL City Muhammad Irfan Zakaria (hitam)

Baginya, pemain berjuang habis-habisan untuk memberi komitmen tinggi dalam aksi padat liga sehingga mereka jelas kelihatan keletihan pada penghujung babak mendorongnya membuat perubahan taktikal mengikut situasi sesuai.

Zainal berkata, dia melihat tempoh rehat agak panjang sebelum aksi berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) ada 2 April membolehkan pemainnya kembali cergas selain ruang memantapkan pasukan.

Sementara itu, jurulatih KL City Bojan Hodak berkata, saingan sangat sengit dengan pemainnya giat mencuba menerusi jadual padat dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata, dia sudah memberi yang terbaik untuk pasukan namun lima perlawanan dalam tempoh dua minggu sangat mencabar untuk melakukan persediaan dengan kini anak buahnya memerlukan sedikit masa pulih dan cergas sebelum menghadapi perlawanan berikutnya.

Bagaimanapun, KL City yang ketinggalan dua gol jelas memberi tekanan hebat kepada tuan rumah pada penghujung babak kedua yang hampir meragut kelebihan jaringan Melaka sebelum akur tewas tipis dalam aksi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 12:57 PM